Home Teknologi Pertahanan Maklumat sulit dron Shahed-131/136 terbongkar

Maklumat sulit dron Shahed-131/136 terbongkar

by M.Daim

Kumpulan pengodam antarabangsa dikenali sebagai Prana Network telah godam server syarikat terlibat dalam urusan penjualan dron Shahed, Sahara Thunder.

Sahara Thunder difahamkan adalah entiti yang digunakan bagi melakukan urusan penjualan dron keluaran Iran ini kepada Rusia.

Siri dron Shahed amat dikenali umum berikutan penggunaannya dalam peperangan di Ukraine dan juga di Asia Barat.

Prana Network dilaporkan telah memecah masuk server email syarikat tersebut dan telah memuat turun data berkepentingan. Ini termasuklah pelan pengeluaran, spesifikasi, kontrak dan juga harga jualan.

Difahamkan data yang dibocorkan adalah melebihi 10GB.

Lukisan skematik menunjukkan keratan rentas dron Shahed 131/136

Kumpulan penggodam menyuarakan tidak puas hati mereka kerana data yang didedahkan sebelum ini tidak dibawa kepada perhatian umum.

“Maklumat sebegini sewajarnya bebas dan perlu diketahui dunia tanpa sebarang batasan,” kata Prana Network dalam satu notis ringkas.

Air Times melihat sendiri dokumen-dokumen yang telah dibocorkan oleh kumpulan penggodam terbabit.

Ini termasuklah dokumentasi pembuatan, spesifikasi dan kontrak.

Melihat kepada kontrak, jumlah perolehan yang dilaksanakan oleh Moskow terhadap 6,000 unit UAV berserta perisian adalah sekitar US$1.75 bilion. Secara kasarnya, anggaran harga seunit Shahed 136 adalah sekitar US$165,500 seunit jika ianya diambil terus dari Iran.

Tangkap layar kontrak yang dibocorkan oleh kumpulan penggodam antarabangsa.

Namun begitu, dokumen yang dibocorkan ini turut menyatakan pengeluaran secara tempatan Shahed-136. Pengeluaran secara tempatan oleh Rusia pula mengurangkan kos seunit dron ini kepada US$48,800.

Berdasarkan maklumat yang diteliti, pengeluaran secara tempatan dilaksanakan pada tahun 2023. Ia dibuat bagi mengurangkan kebergantungan komponen dari Iran.

Transaksi pembayaran pula dilakukan melalui sebuah syarikat di UAE dengan menggunakan emas.

Pun begitu, kebocoran data sebegini sememangnya perlu diambil pengajaran dengan serius memandangkan langkah-langkah pembuatan UAV Shahed 136 turut dibocorkan.

Selain itu, katalog beberapa jenis atau varian Shahed didedahkan.

Manual prosedur dan proses pembuatan Shahed-131/136 turut didedahkan secara terperinci.

Antaranya, M237 yang merupakan varian Shahed dilengkapi dengan enjin jet bagi tujuan mengesan sistem pertahanan udara pihak musuh.

Shahed-136 mula digunakan dalam perang Ukraine pada pertengahan September 2022. Berdasarkan foto dan video yang disebarkan di media sosial, dipercayai dron yang dilancarkan oleh Rusia pada ketika itu adalah Geran-2.

Kehadiran dron ini dalam peperangan Ukraine telah memberikan kejutan kepada Kyiv dan juga pihak Barat yang melihat kepada keberkesanan Shahed-136 melepasi jaringan pertahanan udara. Malah, penggunaan misil anti pesawat konvensional sudah tentu memberikan tamparan dari segi harga.

Sebagai contoh, seunit misil NASAMS adalah sekitar US$800 ribu hingga US$1juta. MANPADS seperti Stinger pula adalah sekitar US$38 ribu hingga US$80 ribu.

Ukraine menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan dron Shahed 131/136 yang dilancarkan oleh Rusia.

Jika dilihat di atas kertas, penggunaan MANPADS dilihat sebagai langkah yang munasabah untuk mengekang serangan Shahed – jika mengambil kira kos.

Langkah ini telah dilakukan oleh Kyiv dengan menempatkan operator MANPADS dalam kumpulan pertahanan udara bergerak (Mobile air defense team).

Sehingga kini, pihak Kyiv menyatakan mereka telah menembak jatuh 3,000 Shahed  dalam tempph 2022-2023. – airtimes.my

 

#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply