[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ug5pcvKNOwU[/embedyt]
KUANTAN, 19 JAN – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob hari ini mengesahkan siasatan kes ‘Kartel Perolehan’ kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, perkara tersebut masih dalam siasatan SPRM dan menegaskan TLDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.
“Perkara tersebut masih dalam siasatan SPRM. TLDM bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM untuk mereka melaksanakan siasatan dengan sepenuhnya,” katanya.
Jelas Panglima Tentera Laut, pihaknya menunggu keputusan siasatan SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Kita tunggu laporan daripada SPRM dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya hasil daripada keputusan siasatan tersebut,” kata Abdul Rahman.
Beliau menjawab pertanyaan media berhubung penahanan 3 individu yang disyaki menjadi dalang ‘Kartel Perolehan’ oleh SPRM.
Semalam, media tempatan melaporkan ketiga-tiga individu berusia lingkungan 28 hingga 47 tahun ditahan di Pejabat SPRM Johor.
Laporan itu menyatakan ketiga-tiga suspek dipercayai dalang kepada kartel perolehan yang melibatkan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM bernilai lebih RM9 juta.
Abdul Rahman turut mengesahkan beberapa anggota telah dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan.
“Saya difahamkan memang ada beberapa anggota kita pun telah pun dipanggil untuk memberikan ketenangan,
“Saya difahamkan juga ada beberapa dokumen-dokumen yang telah diambil juga oleh SPRM,” katanya semasa sidang media di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM #SPRM