Home Pertahanan dan Keselamatan 19 RAMD Mekanize akan ditempatkan di Sabah – Tok Mat

19 RAMD Mekanize akan ditempatkan di Sabah – Tok Mat

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ebhBIEU6Vxo[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ketumbukan Rejimen Ke-19 Askar Melayu Diraja (19 RAMD, Mekanize) di Sabah akan mempertingkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Malaysia Timur.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, pasukan 19 RAMD (Mek) yang ketika ini berpangkalan di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah, akan ditempatkan di Kem Paradise, Kota Belud bagi menampung keperluan mobiliti dan kuasa tembakan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, ini adalah sebahagian usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keselamatan perairan negeri Sabah terutama di kawasan kepulauan negeri itu sentiasa dipertingkatkan.

Menurutnya, isu ancaman keselamatan di Pantai Timur Sabah amat dititikberatkan dalam usaha membanteras dan mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan serta pemerdagangan manusia.

Tegasnya, operasi yang dijalankan oleh ATM di kawasan penugasan telah berjaya mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan perairan negeri ini.

Justeru, pihak kerajaan menerusi kementerian akan sentiasa menambah baik dan mempertingkatkan keperluan aset-aset sedia ada termasuk kemudahan perumahan serta kem tentera.

Antara usaha itu termasuklah, pembinaan baharu di Kem Paradise, Kota Belud yang melibatkan projek pembinaan Markas 5 Briged, 19 RAMD Mek dan Kem 22 Rejimen Artileri Diraja (22 RAD) yang menelan belanja sebanyak RM584 juta.

“Selain itu, pembinaan 632 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu juga dilaksanakan di Kem Paradise, Kota Belud bagi menampung keperluan kuarters kepada pegawai dan anggota yang akan menduduki kem baharu ini. Jumlah keseluruhan kos pembinaan ini berjumlah sebanyak RM584 juta,

“Segala tender telah diberikan. Perolehan juga telah selesai dan pihak kontraktor kini difahamkan telah memasuki kawasan untuk proses pembinaan,

“Projek pembinaan Markas 5 Briged, 19 RAMD dan RKAT kini dalam peringkat perolehan oleh Jabatan Kerja Raya (KJR) serta dijangka bermula pada suku pertama 2024, dan dijangka siap pada tahun 2027,” jelasnya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Datuk Noraini Idris yang menyatakan kesediaan fasiliti pertahanan bagi meningkatkan tahap siap siaga pertahanan di pesisir Pantai Timur Sabah.

Manakala, bagi projek pembinaan 22 RAD pula, beliau berkata, ia dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, bermula suku kedua tahun 2025.

Tambah Mohamad, Markas 5 Briged sedia ada berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu akan ditempatkan semula di Kem Paradise, Kota Belud.

Selain itu, tambahnya, pihak MINDEF juga telah menerima cadangan daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk ATM mewujudkan pos kawalan keselamatan yang baharu di Pulau Ligitan, Sabah. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #ATM #MINDEF

Related Articles

Leave a Reply