Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera tentukan kelengkapan aset diperlukan, tiada campur tangan pihak luar – PM

Tentera tentukan kelengkapan aset diperlukan, tiada campur tangan pihak luar – PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 NOV – Kerajaan telah mengadakan rundingan secara terus dengan negara yang terlibat dalam urusan perolehan kelengkapan dan aset ketenteraan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, perkara itu dijalankan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam perolehan aset ketenteraan berkenaan.

“Selama ini masalah yang kita hadapi adalah masalah perolehan aset, membangunkan dan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang tak siap, masalah kapal tak sampai, pesawat-pesawat terbang kurang memuaskan dan pelbagai masalah,

“Oleh itu saya memutuskan bahawa semua pengurus tentera di bidang masing-masing dibenarkan memutuskan sendiri kelengkapan aset yang mereka perlukan tanpa melibatkan campur tangan luar dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya ada masalah teknikal ataupun pelaksanaannya,

“Kita (kerajaan) dah mula dengan Turkiye dan Korea Selatan serta Itali. Kalau ada apa-apa yang diputuskan, yang memutuskan itu adalah pihak itu sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan Belanjawan 2024 Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Kementerian Kewangan hanya akan terlibat dalam perundingan kos bagi pemerolehan sesuatu aset.

“Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan hanya akan berunding hanya dari segi kos dan sebaiknya runding tersebut tidak melalui ajen tetapi terus kepada kerajaan berkenaan,

“Contoh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dia yang akan putuskan (kelengkapan aset) yang diperlukan, kalau tidak berbilon ringgit itu akan tiris dan ia tak akan dapat dikawal lagi,

“Ini yang saya perhatikan daripada zaman saya dulu sehingga sekarang,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, walaupun perkara tersebut mungkin tidak disenangi sesetengah pihak namun kerajaan tidak mempunyai pilihan dalam soal yang membabitkan keselamatan negara.

“Kita tidak ada pilihan, soal keselamatan dan kelengkapan adalah soalan yang sangat kritikal kepada kita,

“Kita tidak mampu belanja berpuluh bilion ringgit dan menyaksikan kelengkapan yang sangat daif berbanding keupayaan di negara-negara lain,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #DSAI #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply