KUALA LUMPUR, 17 NOV – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara anggota ASEAN bersependapat bahawa situasi di Palestin perlu ditangani segera bagi mengelak kehilangan lebih banyak nyawa akibat serangan berterusan di Semenanjung Gaza.
Tegasnya, walaupun setiap negara mempunyai pandangan tersendiri, namun secara umumnya (hampir kesemua negara) bersetuju yang gencatan senjata merupakan keperluan utama ketika ini.
“Setiap negara mempunyai pandangan sendiri tetapi secara umumnya bersetuju bahawa situasi itu memerlukan perhatian segera untuk mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa, oleh itu perlu dilakukan gencatan senjata secepat mungkin,
“Malaysia menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak seharusnya dipindahkan dari tanah mereka sendiri. Tidak sepatutnya ada usaha untuk menempatkan mereka di tempat lain kerana itu adalah tanah mereka,” kata Mohamad seperti dipetik Bernama.
Terdahulu, Mohamad menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM Plus ke-10 di Jakarta, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau percaya ADMM sebagai platform untuk menyelesaikan masalah secara kolektif akan membolehkan usaha secara bersama-sama untuk menangani isu rumit Laut China Selatan.
Sementara itu, semasa mesyuarat ADMM Plus, Mohamad mengulangi kecaman Malaysia terhadap keganasan dan kematian orang awam terutamanya wanita dan kanak-kanak di Gaza.
“Kita mahu setiap pihak meredakan, berundur, mengadakan gencatan senjata dan menerima pakai resolusi yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 Okt,” kata Mohamad mengenai konflik Hamas-Israel yang berterusan di Gaza.
Mesyuarat ADMM-Plus, yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, adalah platform untuk ASEAN dan 8 rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat untuk menilai kerjasama keselamatan dan pertahanan bagi keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau. -airtimes.my
#pertahanan #Gaza #Malaysia #airtimes