KUALA LUMPUR, 16 NOV – Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia untuk membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setiap 3 bulan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, MINDEF sentiasa menyalurkan maklumat berdasarkan semua jawatankuasa yang telah dibentuk dan tidak timbul isu maklumat tidak diberikan kepada PAC.
“Setiap jawatankuasa ada tempoh mesyuaratnya dan dalam tempoh itu, jawatankuasa boleh memanggil mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat dan PAC boleh mengambil maklum tentang semua maklumat daripada jawatankuasa terbabit,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Selasa lalu, PAC mengemukakan 5 syor penambahbaikan termasuk MINDEF masih perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap 3 bulan sehingga projek LCS disempurnakan termasuk laporan kemajuan mengikut piawaian pengurusan projek antarabangsa.
Selain itu, terdapat Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF dan Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Mindef dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
PAC juga mendedahkan pelaksanaan pelan mobilisasi Projek Pembangunan LCS belum mencapai tahap yang signifikan selepas pemerhatian dilakukan dalam lawatan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Oktober lalu. -airtimes.my
#pertahanan #LCS #MindefMalaysia #TLDM #airtimes