[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=rTeTYNlYC3A[/embedyt]
Menjadi isteri seorang anggota tentera bukanlah mudah seperti yang disangka. Mereka perlu tabah dan sabar ketika mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga apabila suami tiada di sisi.
Bagi Zaharah Radzali (45), sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk menjalani kehidupan tanpa suami di sisi yang sering terlibat dengan operasi.
Namun luah Jururawat Klinik Kesihatan Lubuk China ini, jauh disudut hati, perasan sedih tetap menyelubungi diri kerana perlu menempuh kehidupan bersama anak-anak dalam jangka masa setahun tanpa ditemani suami disisi.
“Sebagai isteri perasaan bangga tetap ada apabila suami dapat menyertai misi ke Lubnan. Tetapi sedih sebab terpaksa berpisah dengan suami dalam jangka masa setahun,
“Sebelum-sebelum ini memang terpisah juga kerana pasangan jarak jauh (PJJ) tetapi, ini kali pertama berjauhan lama dan berada diluar negara,
“Masa suami operasi, tak terasa sangat kerana hanya 3 bulan dan dia (suami) masih berada di Malaysia. Kalau ada kecemasan, suami masih boleh balik lagi tetapi sekarang dah ke Lubnan kalau anak sakit atau sebagainya, kena berhadapan sendiri,” jelasnya kepada Air Times, semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selasa lalu.

Jururawat Klinik Kesihatan Lubuk China, Melaka, Zaharah Radzali (45), mendoakan agar kontijen MALBATT 850-11 di Lubnan sentiasa dilindungi dan selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing nanti. Foto: Air Times/Pasri
Sementara itu, Timbalan Komander MALBAT 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad berkata, sejak awal lagi, beliau telah mengingatkan anak-anak dan isteri agar membuat persiapan serta menerima ketiadaanya apabila terlibat dalam sesuatu tugasan.
Jelasnya, sebagai seorang pegawai tentera, mereka perlu sentiasa bersiap sedia diaturgerak apabila diarahkan oleh pihak atasan.
“Semestinya saya berkobar-kobar dan bersemangat untuk melaksanakan misi ini seperti mana yang diarahkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Pelbagai persiapan telah dibuat terutamanya dari segi mental dan fizikal seperti mengikuti kursus serta latihan yang telah dijalankan di MALBATT Village, Port Dickson,
“Bagi keluarga pula, sejak awal lagi saya dah dedahkan agar membuat persiapan fizikal dan mental untuk menerima kehilangan saya selama setahun sepanjang melaksanakan misi di Lubnan,” ujarnya lagi.

Timbalan Komander MALBAT 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad berkata, kesemua kontijen MALBATT 850-11 telah menjalani Latihan Intergrasi di MALBATT Village, Port Dickson bagi meningkatkan pengetahuan dalam melaksanakan misi pengaman di Lubnan. Foto: AirTimes/Pasri
Mengulas mengenai Latihan Integrasi yang dijalankan di MALBATT Village, Zainol berkata, ia adalah berdasarkan tugas-tugas dan peranan yang akan dilaksankaan sebagai tentera pengaman di Lubnan.
“Ia merangkumi latihan fizikal termasuklah penerangan mengenai perkara yang akan dilakukan semasa melaksankan operasi nanti,
“Di sana nanti kami anggota MALBATT akan melaksanakan tugas sebagai tentera pengaman dimana akan menguatkuasakan mandat-mandat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari segi mengekalkan keamanan di Selatan Lubnan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, seramai 216 dalam kumpulan kedua MALBATT 850-11 diketuainya, berlepas ke Lubnan bagi menggantikan MALBATT 850-10 di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Tibinin.

Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad bersama sebahagian kontijen MALBATT 850-11 semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Selasa lalu. Foto: AirTimes/N.Huda
Selain pasukan negara, turut serta bersama adalah pasukan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang melibatkan seramai 30 orang terdiri daripada 3 pegawai dan 27 anggota.
Kumpulan seterusnya akan bertolak ke Lubnan pada 12 dan 16 November ini. Kumpulan pertama sebelum ini telah bertolak pada 2 November lalu.
Seramai 854 kekuatan pasukan keseluruhan menyertai misi tersebut melibatkan 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat dari negara ini dan 3 pegawai serta 27 anggota dari ABDB selain seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan. -airtimes.my
#MALBATT #Lubnan #airtimes #pertahanan