KUALA LUMPUR, 16 OKT – Persatuan Kor Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) menggesa kerajaan perlu mengambil serius dalam isu pencen yang dihadapi oleh veteran.
Menurutnya, kerajaan perlu mempunyai strategi dan inisiatif dalam menangani isu yang dihadapi oleh golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara), Pengerusi RAFOC dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya mempunyai cadangan kepada kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang dihadapi veteran dan pelarasan pencen.
“RAFOC mencadangkan bahawa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa khas untuk menilai sistem pencen dan faedah persaraan bagi veteran secara khusus,
“Jawatankuasa khas ini perlu bekerjasama rapat dengan wakil-wakil veteran untuk menangani isu-isu mereka secara menyeluruh,
“Jawatankuasa khas tersebut bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan,
“Kami percaya bahawa wujud penyelesaian yang akan menghargai dedikasi veteran AT dan pada masa yang sama mengambil kira kekangan kewangan negara,
“Sebagai penyelesaian jangka panjang isu-isu veteran , dicadangkan sebuah Jabatan Hal-ehwal Veteran diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Abdul Aziz menyatakan kebimbangan warga veteran perlu diambil perhatian berikutan kos sara hidup yang kian meningkat dari masa ke semasa. Malah, gesaan dari golongan veteran berhubung pelarasan pencen adalah berasas memandangkan masih tiada pelarasan dilakukan.
“Adalah tidak kurang pentingnya untuk menangani kebimbangan veteran tentera,
“Gesaan veteran tentera untuk dikaji semula pencen mereka bertitik tolak dari keperluan untuk memastikan kesejahteraan mereka, terutamanya ketika kos sara hidup yang meningkat,
“Veteran telah mengabdikan hidup mereka untuk menjaga kedaulatan negara, dan wajarlah pengorbanan mereka diiktiraf dan dihargai,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu mencari pendekatan seimbang di antara agihan bajet kerajaan dan keperluan veteran.
Jelasnya, strategi kerajaan menangani situasi ekonomi seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2024 baru-baru ini wajar dipuji kerana mengurangkan kesan kepada rakyat.
“Sementara inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk kesejahteraan negara, adalah penting untuk menangani kebimbangan veteran yang telah berkhidmat tanpa berbelah bahagi kepada negara,
“Gesaan mereka untuk mengkaji semula pencen adalah wajar,” kata Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara), Pengerusi RAFOC dalam kenyataan.
Beliau menambah, Bajet 2024 menekankan kelangsungan bantuan tunai kepada golongan rentan, dengan memperuntukkan dana yang besar untuk subsidi, insentif, dan bantuan-bantuan bersasar.
“Langkah-langkah ini penting untuk mengurangkan kesan inflasi ke atas rakyat marhaen secara amnya,
“Peningkatan bantuan tunai maksimum di bawah program Sumbangan Tunai Rakyat (STR) dan pelanjutan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah langkah penting serta melambangkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Menurut pengerusi RAFOC, inisiatif-inisiatif ini pasti akan membantu kumpulan rentan mengatasi peningkatan kos sara hidup.
“Komitmen kerajaan untuk mengawal harga barang-barang dan perkhidmatan penting melalui inisiatif Payung Rahmah dan Program Pasar Rahmah wajar disanjung,
“Pemberian subsidi dan insentif kepada usahawan, menjadikan keperluan pengguna lebih terjangkau untuk semua orang dan seterusnya meringankan beban pengguna,
“Ini bukan sahaja membantu rakyat keseluruhan tetapi juga memastikan kestabilan ekonomi,” kata kenyataan itu.
Jelas Abdul Aziz, Bajet 2024 pada kali ini dilihat menggunakan istilah veteran tentera secara khusus.
“Ia tidak berlaku sebelum ini dan hanya disebut sebagai pesara anggota Perkhidmatan Awam dan tentera,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Veteran #ATM