Home Pertahanan dan Keselamatan Video viral askar Malaysia dihantar ke Palestin adalah palsu – Markas ATM

Video viral askar Malaysia dihantar ke Palestin adalah palsu – Markas ATM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 OKT – Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan video tular yang mendakwa pasukan tentera tanah air telah dihantar ke Palestin adalah tidak benar.

Markas ATM dalam satu kenyataan berkata, video yang ditularkan di platform TikTok adalah video keberangkatan anggota pengaman ATM ke Lubnan pada tahun 2022.

“ATM telah meneliti kandungan video tersebut dan mendapati ianya merupakan sebuah video lama mengenai anggota yang ditugaskan ke misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada tahun 2022,

“Justeru, Angkatan Tentera Malaysia menafikan kandungan video tular tersebut dan mengesahkan bahawa ianya adalah tidak benar sama sekali,” kata kenyataan itu.

Tangkap layar video tular yang mendakwa anggota ATM telah diaturgerak ke Palestin.

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 36 saat tular di media sosial TikTok yang mendakwa keberangkatan pergi anggota ATM ke Palestin. Selain di TikTok, video terbabit turut tular di platform media sosial lain termasuk Twitter.

Air Times turut meneliti video tersebut dan mendapati anggota ATM berpakaian seragam digital khusus untuk operasi di padang pasir serta memakai beret biru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Beret biru PBB digunakan oleh anggota tentera dari mana-mana negara untuk melaksanakan misi pengaman.

“Masyarakat diminta agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang

perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi

dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat,

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu

boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” kata Markas ATM.

MALBATT 850-10 pada ketika ini sedang bertugas di Lubnan. Kumpulan yang terdiri daripada 84 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) telah diaturgerak ke Lubnan pada 27 Oktober tahun lalu.

Kontinjen ini melaksanakan misi PBB secara rasmi selama 12 bulan yang akan berakhir 13 November 2023. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #MALBATT #ATM

Related Articles

Leave a Reply