Home Pertahanan dan Keselamatan Hanya 15 daripada 50 pelatih berjaya harungi Kursus Penyelam Penyelamat APMM

Hanya 15 daripada 50 pelatih berjaya harungi Kursus Penyelam Penyelamat APMM

A+A-
Reset

KUANTAN 7 Oktober – Bermula dengan kira-kira 50 peserta yang menyahut cabaran, hanya 15  berjaya mengikuti liku-liku untuk bergelar sebagai penyelam penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mereka yang terdiri daripada tiga pegawai dan 12 anggota ini mencipta kebanggaan peribadi apabila disematkan dengan lencana setelah berjaya menamatkan Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 di Akademi Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.

Ini merupakan kursus julung-julung kali yang dikendalikan oleh APMM dan berjaya menarik penyertaan dalam kalangan pegawai dan anggota.

Terlebih dahulu calon-calon perlu melalui beberapa siri tapisan oleh Markas Pasukan Tindakan Khas serta saringan kesihatan di Institut Perubatan Bawah Air Hospital Angkatan Tentera di Kota Kinabalu dan Lumut.

Setelah melalui proses saringan ketat seramai 22 pelatih telah melepasi tahap kesihatan serta kecergasan untuk menjalani kursus yang mencabar ini.

Sepertimana kursus yang melibatkan cabaran fizikal dan mental, ketahanan pada pelatih sangat diperlukan.

Justeru, setelah melalui fasa seminggu latihan penyesuaian, seramai 16 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya iaitu kursus penyelam penyelamat yang terbahagi kepada tiga fasa.

Ia meliputi ujian kolam, praktikal pelabuhan di jeti Zon Maritim Kemaman dan praktikal laut menggunakan KM Pekan sebagai platform.

Pelatih juga perlu melepasi ujian diving ability test, praktikal confined space rescue dan deep dive.

Bagaimanapun, seorang peserta terkandas pada ujian kolam menjadikan peserta kursus mengecil hanya seramai 15 orang.

Keunikan kursus ini apabila silibus kursus turut mengaplikasikan teknik mencari dan menyelamat (carilamat) di dalam kebuk ruangan sempit yang dikongsi oleh penyelam Japan Coast Guard (JCG).

Silibus ini hasil kerjasama APMM dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak tahun 2014 yang mana Malaysia satu-satunya negara di Asia selepas Jepun mempunyai kepakaran ini.

Terdahulu, majlis perasmian penutup Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 ini telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid.

Mengiringi beliau ialah Komander Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Komander Maritim Syuzefril Mat Noor.

Aminuddin turut menyematkan lencana kepakaran sebagai penyelam penyelamat kepada para pelatih.

Dua anugerah pula telah diberikan iaitu Penuntut Keseluruhan Terbaik yang menjadi milik Laskar Kelas II Maritim Erwan Kornelis @ Amran manakala Leftenan Madya Maritim Muhammad Aizuddin bin Zawawi diumumkan Penuntut Akademik Terbaik.

Kesemua mereka bakal ditugaskan di bawah Skuadron Selam Maritim Malaysia kendalian STAR Team untuk ditempatkan di enam lokasi berbeza iaitu Perak, Johor, Sabah, Sarawak, AMSAS dan STAR Team Ibu Pejabat Maritim Malaysia. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #MaritimMalaysia

Leave a Reply