NEW DELHI, 26 Ogos – Tentera Udara India (Indian Air Force, IAF) mengorak langkah untuk menggantikan jet pejuang MiG-21 dengan melaksanakan perolehan pesawat tempur keluaran negara itu, HAL Tejas.
Pelan perolehan tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan pihak kerajaan India.
Menurut laporan media negara Asia Selatan itu, keputusan perolehan yang merangkumi lebih 100 buah jet pejuang HAL Tejas dibuat selepas Panglima Tentera Udara India, Air Chief Marshal VR Chaudhari mengadakan pertemuan dengan pihak pengeluar, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).
Difahamkan peroleha tersebut melibatkan LCA Mark-1A dan Mark-2
“Rancangan ini telah pun diserahkan kepada pihak Kementerian Pertahanan India dan dijangka akan mendapat kelulusan dalam tempoh masa terdekat,
“Projek ini akan memberikan lonjakan kepada industri pertahanan India,” lapor agensi ANI yang memetik sumber kerajaan.
IAF pada ketika ini mengoperasikan 40 buah Tejas Mark-1 dan 43 Mark-1A.
Tejas Mark-1A mempunyai sistem avionik dan radar yang lebih baik berbanding varian asal.
Sementara itu, pihak HAL sedang membangunkan Tejas Mark 2 yang dijangka akan melakukan penerbangan ulung pada tahun ini.
IAF merupakan pengguna terbesar MiG-21 semenjak kali pertama ia digunakan dalam pasukan itu pada tahun 1964. Walaupun mempunyai rekod yang cemerlang dalam operasi ketenteraan India, MiG-21 menjadi salah satu isu utama yang membelenggu IAF.
Ini terutamanya dengan melihat rentetan insiden nahas yang melibatkan MiG-21.
Pada tahun lalu, India melaporkan 200 juruterbang dan 60 orang awam maut dalam insiden nahas MiG-21 dari era 1960-an sehingga tahun 2022. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 400 nahas direkodkan. – airtimes.my