Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Kempen Tabung Pahlawan 2023 sasar RM10 juta, bantu veteran ATM

#Pertahanan: Kempen Tabung Pahlawan 2023 sasar RM10 juta, bantu veteran ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mensasarkan kutipan sebanyak RM10 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan 2023 (KPT 23) bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, pelbagai program telah dirangka bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan nilai prihatin dan kemanusian yang terpuji. Dan dengan sikap itu, saya menyeru agar sektor awam mahupun syarikat korporat agar dapat membantu untuk mencapai sasaran kutipan KPT pada tahun ini yang kita sasarkan untuk mencapai sebanyak RM10 juta,

“Jika ini dapat dicapai atau lebih lagi dari sasarannya adalah sangat baik dan bermakna buat saya. Ia kerana supaya program-program bantuan kepada veteran ATM akan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas lagi,

“Marilah kita sama-sama menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai tanda terima kasih kita atas keamanan dan rasa selamat yang kita nikmati sekarang ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Perlancaran Tabung Pahlawan Tahun 2023 di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Menurutnya, wang ringgit bukanlah pertukaran untuk keamanan, namun ianya sebagai lambang seseorang berbahasa kepada mereka yang telah lama berbudi kepada rakyat dan negara.

“Kami merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pahlawan negara khususnya veteran ATM. Kita perlu hargai semangat para pahlawan kerana tanpa perjuangan mereka sukar untuk kita mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini,

“Namun, rasa kagum, bangga dan terima kasih semata-mata belum cukup memadai. Sebolehnya saya mahu para pahlawan negara, khususnya veteran ATM dihargai dengan segala cara dan kaedah,” ujarnya lagi.

Mohamad turut menjelaskan, KPT 23 memainkan peranan yang amat penting pada ketika ini kerana ia merupakan bantuan kecemasan bagi membantu komuniti veteran ATM yang memerlukan bantuan dan sokongan yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan.

“Bantuan-bantuan termasuk kos belakan lampin pakai buang, susu khas secara berterusan bagi veteran atau orang tanggungannya yang sakit terlantar dan perolehan peralatan pesakit yang tidak dapat dibekalkan oleh Jabatan Hal Ehwal veteran (JHEV) ATM terutamanya yang bersifat khas atau berdasarkan jenis penyakit,

“Kempen di peringkat MINDEF ini juga berperanan untuk meningkatkan semangat patriotisma dan perpaduan antara semua lapisan masyarakat. Penglibatan rakyat adalah penting bagi mencapai pertahanan komprehensif dan mendukung iltizam Kertas Putih Pertahanan (KPP),

“Jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kesatuan, ketahanan dan keampuhan rakyat dalam mendepati segala ancaman masa kini dan yang akan datang. Menyuburkan budaya keselamatan adalah penting bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,

“Untuk itu sumbangan kepada KPT 23 akan turut digunakan semula bagi tujuan membiayai program dan pendidikan kesedaran semangat patriotisme serta menyemarakkan sokongan terhadap pertahanan negara termasuk agenda peningkatan kesejahteraan komuniti veteran ATM,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Menteri Pertahanan telah menerima sumbangan korporat dari para penyumbang Tabung Pahlawan bagi tahun 2023.

Penyumbang- penyumbang tersebut terdiri daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd; Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol); DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH); Pasukhas Development Sdn. Bhd; Rasumi Medipharma Sdn. Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply