Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Imigresen serbu jeti pelantar ikan, 59 PATI dicekup

#Keselamatan: Imigresen serbu jeti pelantar ikan, 59 PATI dicekup

by Nurulhuda

IPOH, 5 Ogos – Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 2 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dalam satu serbuan  Op Bersepadu di sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang, awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, operasi yang dijalankan sekitar jam 1.00 pagi itu membabitkan 35 pegawai imigresen dari Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Perak, dibantu 26 pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi JIM Putrajaya serta 30 pegawai dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau menjelaskan, serbuan dijalankan di kawasan premis dan sekitar jeti pelantar ikan yang mempunyai bot nelayan.

“Seramai 61 warga asing diperiksa dengan kesemuanya PATI yang berumur di antara tujuh tahun hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan,

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Thailand, 13 lelaki warga Indonesia, 2 wanita warga Vietnam, 36 lelaki dan 5 wanita serta 2 kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang berada di lokasi berkenaan melakukan kesalahan imigresen,

“2 lagi lelaki warga Myanmar diserahkan kepada APMM bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Menurut Hapdzan, kesemua mereka yang ditahan dipercayai bekerja di pelantar ikan terbabit sebagai nelayan dan pekerja am.

Hapdzan berkata, setibanya di tempat kejadian, pasukan terpaksa memotong pintu pagar premis bagi membolehkan mereka masuk ke kawasan berkenaan.

“Kehadiran pasukan operasi di lokasi serbuan menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut dan menyembunyikan diri di dalam semak sekitar lokasi serbuan,” katanya dalam kenyataan.

“Bagaimanapun, kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan,” katanya lagi.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah menerima maklumat orang ramai dan risikan terhadap kehadiran PATI di kawasan berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply