Home Pertahanan dan Keselamatan Koperasi Tentera umum dividen 7 peratus bagi tahun 2022

Koperasi Tentera umum dividen 7 peratus bagi tahun 2022

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan pulangan dividen 7 peratus kepada 156,156 ahlinya dengan membabitkan pembayaran sebanyak RM130.4 juta pada tahun 2022.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5 peratus (RM41.4 juta) berbanding RM89 juta berbanding tahun 2021.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembayaran dividen itu berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat Koperasi Tentera sebanyak RM154 juta, hasil daripada pendapatan bersih pada 2022, iaitu RM256 juta.

“Kita akan dapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk pembayaran dividen kepada ahli dan memang hasrat kita untuk salurkan sebelum Aidiladha,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-57 di Wisma Perwira, seperti di lapor Bernama.

Beliau berkata, peningkatan yang memberangsangkan itu adalah hasil daripada pembiayaan yang ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang semakin meningkat.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun ini, Koperasi Tentera telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM17.7 juta atau purata RM1.7 juta setahun kepada anggotanya.

“Ini telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 42,706 anggota meliputi aspek pendidikan, perubatan dan derma am selain sumbangan khairat kematian sebanyak RM572,000 turut disalurkan kepada waris anggota pada tahun 2022,

“Ini adalah sumbangan terus yang dibayar bagi menjaga kebajikan anggota dan ahli keluarga mereka,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Koperasi Tentera turut melakar kejayaan apabila menerima pengiktirafan sebagai koperasi premier daripada SKM pada 2022 untuk tiga tahun berturut-turut.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Tentera, Brigadier Jeneral Roba’i Rahmat; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Pada majlis itu, Adly turut menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada 8 Anggota Terlama Koperasi Tentera, Sumbangan Bantuan Sekolah Berasarama Penuh kepada 7 anak-anak penerima anggota Koperasi Tentera serta 3 penerima Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply