Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen tahan lebih 20,000 pendatang tanpa izin

Imigresen tahan lebih 20,000 pendatang tanpa izin

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Jabatan Imigresen telah menahan seramai 24,240 pendatang tanpa izin di seluruh negara menerusi pelbagai siri operasi pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata penahanan kesemua pendatang tanpa izin berkenaan adalah bagi tempoh 1 Jan hingga 6 Jun tahun ini.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan imigresen telah melaksanakan sebanyak 3,617 operasi serta 40,459 pemeriksaan pendatang tanpa izin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu, imigresen menahan 24,240 pendatang tanpa izin selain 145 majikan kerana melindungi serta menggajikan mereka secara haram.

“Imigresen akan membuat operasi berterusan antaranya mempertingkatkan risikan dan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti ada penempatan haram dan premis yang kerap dikunjungi mereka,” katanya dalam sidang media operasi penguatkuasaan di Pulau Meranti, Puchong, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Selain itu, imigresen juga telah mengusir 19,059 pendatang tanpa izian bagi tempoh 1 Jan hingga 5 Mei lepas.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply