Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan lulus BIW Ganti BISS, BISM untuk anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai – Anwar

Kerajaan lulus BIW Ganti BISS, BISM untuk anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai – Anwar

by Nurulhuda

PUTATAN, 31 Mei – Kerajaan bersetuju meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah, Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) berkuat kuasa 1 Julai depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berita gembira itu bakal memanfaatkan kepada seramai 33,586 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lepas (2022).

Beliau mengumumkan berita gembira itu ketika berucap pada Program Mesra Bersama Warga ATM Markas Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Bgd), Kem Lok Kawi, Sabah, hari ini.

Sebelum ini, jelasnya pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima BISS serta BISM, namun kedua-dua insentif diberikan itu adalah lebih rendah berbanding kadar BIW yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.

“Sedangkan, asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya,” jelasnya.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply