KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) merupakan satu acara antarabangsa dan menjadi tumpuan masyarakat serata dunia.
Disebalik kelancaran penganjuran LIMA’23 itu, terdapat beberapa elemen bertanggungjawab dalam membendung sebarang ancaman yang boleh menimbulkan bahaya kepada pengunjung mahupun delegasi asing.
Antaranya adalah Sel Non-Conventional Threat (NCT). Sel ini merupakan satu kumpulan khusus yang diletakkan di bawah Bahagian Keselamatan bagi LIMA’23.
Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjelaskan, semasa LIMA’23, sel NCT bertanggungjawab dalam menguruskan 3 jenis elemen iaitu Counter-Improvised Explosive Devices (C-IED), Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and High Yield Explosive (CBRNE) dan Anti-Drone.
Tim NCT ditugaskan untuk menangani sebarang ancaman bukan konvensional yang berkemungkinan berlaku sepanjang pameran LIMA’23 dijalankan.
Tim NCT diketuai oleh Mejar Ahmad Fauzi Puad TUDM bersama dengan pegawai dan anggota berkepakaran EOD dari TUDM bagi elemen C-IED, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bagi CBRNE serta Pasukan Gerakan Udara – Unit Dron PDRM.
Menurutnya, satu simulasi menangani ancaman telah dilaksanakan semasa LIMA’23.
Ianya melibatkan ancaman bom buatan sendiri atau Improvised Explosive Devices (IED) yang mempunyai keupayaan serangan kimia.
“Di dalam simulasi ini, tim NCT telah digerakkan bagi mengenalpasti ancaman,
“Tim C-IED menggunakan Remote Operating Vehicle (ROV) bagi mengenalpasti jenis ancaman dari jarak jauh,
“Melalui tinjauan awal, pegawai RAJD dari elemen CBRNE menyatakan terdapat kemungkinan ancaman bahan kimia (Chemical Warfare Agent) berdasarkan analisa awal,” jelas TUDM.
Seterusnya, Pegawai dari 12 Skn RAJD (CBRNe) melaksanakan pengesanan terhadap objek tersebut.
“Setelah pengesahan terdapat adanya ancaman CWA, elemen CBRNE telah melaksanakan SOP berkaitan bagi mengatasi ancaman CWA tersebut bagi membolehkan tim C-IED meneruskan tugasan,
“Pada waktu yang sama, PDRM melaksanakan pemantauan dari jarak jauh menggunakan dron serta bekerjasama dengan tim C-IED bagi menyekat sebarang transmisi frekuansi radio (RF) yang tidak dikenali menggunakan jammer,” kata TUDM lagi.
Kemudian, Tim C-IED meneruskan penugasan mengenalpasti ancaman menggunakan X-Ray setelah ancaman CWA berjaya diatasi oleh tim CBRNE.
“Dengan menggunakan X-Ray, tim C-IED mengesahkan bahawa objek tersebut merupakan bot buatan sendiri,
“Seterusnya, tim C-IED melaksanakan SOP khusus yang berkaitan bagi menangani ancaman. Operator EOD menggunakan Bomb Suit bagi menempatkan Recoilless Disruptor pada kedudukan yang tepat berdasarkan analisis IED yang diperolehi dari imej X-Ray,” tambah TUDM.
Tambah TUDM, simulasi ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan menggunakan Recoilles Disruptor dan IED tersebut musnah tanpa sebarang insiden yang tidak dingini.
“Kerjasama yang jitu antara pihak EOD TUDM bersama pasukan CBRNE dari RAJD serta Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara PDRM yang membolehkan ancaman dapat diatasi dengan jayanya,” ujar TUDM lagi.
Kerjasama kedua-dua pasukan keselamatan mungkin tidak diketahui umum, tetapi usaha mereka adalah penting untuk memastikan LIMA’23 selamat dari sebarang ancaman yang boleh meragut nyawa. -airtimes.my
Galeri gambar: