CHEMOR, 15 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) terus memperkasakan isu kebajikan anggota dan veteran ATM.
Sehubungan itu, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus menjelaskan, MINDEF telah memperuntukan sebanyak RM5.7 juta bagi menampung pembinaan 40 rumah bina baru dan baik pulih 170 buah rumah veteran ATM pada tahun ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 147 unit telah diluluskan hingga hari ini dan proses membaiki baki rumah rosak akan diteruskan secepat mungkin.
“Melalui inisiatif perumahan veteran tentera pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM5.7 juta bagi membina 40 rumah baharu dan 170 rumah untuk dibaik pulih,
“Setakat ini, kita sudah bina 32 unit rumah baharu dengan 7 daripadanya telah siap dibina. Tempoh bagi menyiapkan sebuah rumah dalam 3 bulan sahaja,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penyerahan kunci rumah di Kampung Ulu Chepor, pada Ahad.
Zambery Jefry berkata, rumah bina baharu yang dirasmikan tersebut bernilai RM85,000 dengan JHEV ATM membiayai sebanyak RM65,000, manakala bakinya dibiayai dan dipantau oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Menurutnya, usaha itu adalah melalui inisiatif perumahan yang dijayakan oleh JHEV ATM bagi membina rumah baharu kepada veteran ATM yang daif dan memerlukan.
JHEV ATM turut memaklumkan, kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM terbuka kepada veteran ATM atau balu yang mana pendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan. -airtimes.my