Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas 900,040 rokok seludup di Pasir Puteh, Machang

Kastam rampas 900,040 rokok seludup di Pasir Puteh, Machang

by Muaz Rizqi

TUMPAT, 10 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 900,040 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM606,899 dalam 3 serbuan berasingan di Pasir Puteh dan Machang pada Selasa lepas.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan pertama yang dilakukan di Kampung Gong Stopa, Pasir Puteh berjaya merampas 20,520 batang rokok serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan suspek untuk membawa rokok seludup,

“Sejumlah 28,800 rokok seludup pelbagai jenama pula berjaya dirampas dalam serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Dato’ di jajahan sama,” katanya pada sidang media di JKDM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam berkata sebanyak 850,620 batang rokok seludup pelbagai jenama turut dirampas menerusi serbuan ketiga di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Sri Machang.

Menurutnya hasil siasatan mendapati mondus operandi adalah suspek membawa masuk rokok berkenaan dalam jumlah yang kecil menggunakan kenderaan penumpang sebelum disembunyikan di tempat penyimpanan.

“Rokok seludup itu kemudiannya diedarkan dalam jumlah yang sedikit untuk pasaran tempatan menggunakan kenderaan sama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pembekal rokok seludup terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) serta Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,00 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply