Home Pertahanan dan Keselamatan Pemberian peralatan Hospital Medan kepada Turkiye tak jejas kesiagaan ATM – Panglima

Pemberian peralatan Hospital Medan kepada Turkiye tak jejas kesiagaan ATM – Panglima

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Sebahagian kelengkapan perubatan Hospital Medan Malaysia (HMM) diserahkan kepada kerajaan Turkiye bagi membantu dan meneruskan proses pemulihan kesihatan di negara tersebut.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan, peralatan ini melibatkan 20 buah khemah, katil medan dan ubat-ubatan serta barang perubatan pakai habis.

Menurutnya, penyerahan peralatan perubatan kepada kerajaan Turkiye itu tidak menjejaskan kesinambungan pengoperasian HMM sekiranya diperlukan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, daripada kelengkapan perubatan yang ditinggalkan di Turkiye, masih terdapat peralatan-peralatan yang dibawa balik ke Malaysia untuk meruskan pengoperasian hospital medan sekiranya diperlukan.

“Untuk peralatan perubatan yang ditinggalkan, sebahagiannya terdapat juga barang yang dibawa balik ke Malaysia. Dalam masa terdekat, kerajaan akan membuat perolehan pembelian yang baharu untuk menampung keperluan pengoperasian hospital medan di sini,

“ATM masih mempunyai kelengkapan dan keperluan hospital medan yang boleh diaturgerakkan bila-bila masa sahaja. Jika diperlukan, ATM mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk mendirikan hospital medan yang lain. Ia tidak menjadi masalah,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kepulangan Tim Misi OPERASI STARLIGHT II Hospital Medan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap sedia bagi mewujudkan hospital medan sekiranya diperlukan.

“Kita mampu mendirikan hospital medan yang lengkap dalam masa yang singkat. Aturgerak, peralatan dan khidmat anggota perubatan sentiasa dalam keadaan siap sedia diaturgerak dalam mewujudkan hospital medan tersebut,

“Sekiranya diperlukan, dimana pembinaannya semua terserah kepada kerajaan. Apabila mendapat arahan dari pihak atasan, dalam masa 48 jam kita mampu diaturgerakkan,” jelasnya lagi.

Para petugas seramai 110 pegawai dan anggota serta HMM melalui pelaksanaan Op Starlight II yang diaktifkan pada 9 Februari lalu telah selamat kembali ke tanah air pada jam 5 petang tadi selepas melaksanakan misi kemanusiaan untuk memberi bantuan perkhidmatan perubatan kepada mangsa gempa bumi di Republik Turkiye.

Mengulas lanjut, Affendi menjelaskan, pengoperasian sepenuhnya HMM ini pada 15 Februari lalu telah menawarkan perkhidmatan perubatan Tahap 3 kepada masyarakat setempat serta melaksanakan Outreach Medical Program melalui Forward Medical Team (FMT).

Menurutnya, sepanjang tempoh beroperasi, HMM telah berjaya merawat seramai 2,415 orang pesakit disamping berjaya melaksanakan 83 kes pembedahan.

Manakala, melalui FMT, seramai 159 pesakit telah berjaya diberikan rawatan.

Dalam masa yang sama, Affendi turut menzahirkan perasaan bangga dengan petugas HMM yang berjaya melaksanakan misi tersebut sekali gus meningkatkan imej negara di mata dunia.

“Suka saya menyatakan disini bahawa kesemua mereka yang ditugaskan telah selamat kembali dalam keadaan yang baik,

“Riak wajah mereka menunjukkan semangat yang masih tinggi serta memperlihatkan kepuasan kerana telah dapat memberikan khidmat bakti yang baik walaupun dalam keadaan cuaca yang amat sukar semasa berada disana,

“Saya secara peribadi merasa berbangga dengan mereka semua kerana telah melaksanakan tugas dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.

HMM ditempatkan di Celikhan, Turkiye yang terletak kira-kira 150 kilometer (KM) dari Ganiantep iaitu kawasan yang paling terjejas akibat gempa bumi berkenaan.

Penugasan hospital medan ini telah ditamatkan pada 23 Mac lalu setelah melaksanakan misi selama 6 minggu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply