Home Pertahanan dan Keselamatan PATI ‘lubuk emas’ penguat kuasa

PATI ‘lubuk emas’ penguat kuasa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa.

Menurutnya, inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia.

“Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan,

“Slogan ‘Malaysia Boleh’ dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian yang cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah,

“Tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi SPRM pada Isnin.

Beliau berkata, komen ‘ia adalah kejadian terpencil’ sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini.

Tegasnya, rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini antaranya termasuk dalam proses-proses seperti permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat.

“Bagi memperoleh kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk dan peranan ejen-ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa serta permit kerja,

“Ada juga yang merasuah penguat kuasa di pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terlibat dengan jenayah, disenarai hitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Tambahnya, selain itu, ada juga kes penguat kuasa melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian dan macau scam yang kebanyakan pekerjanya adalah terdiri daripada warga asing.

“SPRM juga mengesan kegiatan memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen atau menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan; bekerja di sektor pembinaan; perladangan; perniagaan dan perkhidmatan secara tidak sah,” jelasnya.

Ahmad Khusairi menjelaskan, terdapat juga warga asing yang mendapatkan kerakyatan dan sijil beranak dengan membayar rasuah, kegiatan tekong-tekong darat yang menyeludup PATI masuk melalui lorong-lorong tikus seperti laut, hutan dan sempadan negara.

“Rasuah juga berlaku bagi tujuan meneroka tanah secara haram untuk tujuan penginapan dan pertanian, aktiviti perlombongan haram, penyeludupan barangan larangan termasuk dadah, senjata api, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula serta minyak masak,

“Rasuah jalanan juga dikesan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap, rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial selain merompak kekayaan hasil laut,” jelasnya.

Menurutnya, ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini.

“Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” dedahnya.

Tegas beliau, isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh.

“Kesannya amat buruk kerana ia melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.

“Pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply