Home Pertahanan dan Keselamatan APMM selamatkan anak kapal kena serangan jantung

APMM selamatkan anak kapal kena serangan jantung

by Nurulhuda

BATU PAHAT, 26 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat melaksanakan Medical Evacuation (MEDIVAC) ke atas seorang anak kapal yang mengalami serangan jantung, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima aduan daripada ejen syarikat perkapalan mengenai seorang kru kapal Vangelis mengalami serangan jantung semasa kapal sedang belayar menuju ke pelabuhan Singapura.

Menurutnya, aset APMM iaitu Bot Kilat 13 telah diatur gerak ke lokasi kapal Vangelis lebih kurang 17 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor, Muar.

“Setiba di lokasi, mangsa, Rogelio P. Abucejo, 53, warga Filipina berada dalam keadaan kesakitan dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera,

“Keadaan cuaca laut bergelora dan angin kencang menyukarkan proses pemindahan mangsa, namun mangsa seterusnya berjaya dipindahkan dan dibawa ke Jeti APMM Batu Pahat pada jam lebih kurang 11.40 malam,

“Kemudian, kri kapal berkenaan dikejarkan ke Hospital Nora Ismail, Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Dalam masa yang sama, Mohd Haniff menjelaskan, selain tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang dilaut, APMM juga turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan di laut.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon APMM Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply