Home Pertahanan dan Keselamatan Seludup PATI guna MyKad tulen, SPRM tahan 9 termasuk 5 pegawai penguat kuasa

Seludup PATI guna MyKad tulen, SPRM tahan 9 termasuk 5 pegawai penguat kuasa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Seramai 9 individu termasuk 5 pegawai penguat kuasa, ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah, pada Khamis lepas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, 5 penguat kuasa berkenaan termasuk 2 pegawai wanita, yang berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 41 tahun, ditahan pada kira-kira 2.30 petang hingga 8.40 malam.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas SPRM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikenali sebagai Op Lancar.

Menurut SPRM, 4 lagi suspek yang dipercayai ejen PATI dari negara jiran, terdiri daripada 3 wanita tempatan dan seorang lelaki, berusia antara 37 hingga 73 tahun, ditahan pada 3.30 petang hingga 6 petang hari berkenaan.

“Modus operandi sindiket itu, setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak memiliki dokumen lengkap atau mempunyai sekatan, perlu membayar sekitar RM2,500 kepada ejen pendatang jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau,

“Sindiket ini kemudiannya akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad, kepada kumpulan pendatang tanpa izin menggunakan khidmat mereka,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, PATI dari negara jiran, kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguat kuasa berkenaan.

Selain itu, siasatan SPRM turut mendapati, bagi setiap penerbangan ke KLIA2, ejen akan membawa masuk antara 5 hingga 20 PATI, dan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak 2018.

Tambah SPRM, hasil operasi itu, pihaknya telah merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad pengenalan Malaysia milik individu lain dan cop keluar Sabah yang lengkap dengan nombor siri.

“Seramai 12 PATI yang didapati memasuki negara menggunakan sindiket terbabit, turut ditahan oleh JPN dalam operasi itu,

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan berasingan hari ini mengesahkan, 5 pegawai JIM Sabah ditahan SPRM pada Khamis lepas, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan migran.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata, jabatan itu, menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti, sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti,

“Tindakan dan hukuman yang serius akan diambil, termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah. Imigresen sentiasa serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai imigresen, berada di tahap maksimum,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, JIM juga bersedia bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM, dalam usaha memerangi penyeludupan pendatang tanpa izin.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply