Home Pertahanan dan Keselamatan Baik tolong veteran ATM, dari bantu pelarian Rohingya – MP Tangga Batu

Baik tolong veteran ATM, dari bantu pelarian Rohingya – MP Tangga Batu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kerajaan disarankan untuk menyalurkan sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berhadapan masalah kos sara hidup daripada memberi bantuan kepada pelarian Rohingya.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menjelaskan perkara tersebut semasa sesi Perbahasaan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kita menyambut baik hasrat Kementerian untuk menambah bilangan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak 6,000 orang lagi kepada 15,000 orang penerima,

“Tetapi, ianya masih jauh di bawah ke timbang jumlah ahli veteran tentera seramai 160,000 orang dan 78,000 ahli yang bersara sebelum 1 Januari 2013,

“Kita menghargai niat baik kerajaan untuk memberikan bantuan serta latihan kepada pelarian Rohingya, namun akan lebih baik dan menjadi lebih bijak sekiranya keutamaan diberikan kepada rakyat sendiri terutama kepada mereka yang pernah berjasa kepada negara serta tanah air,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kepada kerajaan agar tidak lupa kepada veteran ATM yang pernah berjuang mempertahankan negara dan menjadi benteng kepada keselamatan serta pertahanan negara.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bertekad untuk menoktahkan miskin tegar kepada sifar pada tahun 2023,

“Namun begitu, dalam keghairahan ini kita tidak boleh melupakan sebahagian daripada masyarakat kita iaitu veteran tentera yang pernah berjuang mempertahankan negara,

“Selama 41 tahun, negara dibelenggu dengan ancaman komunis dan merekalah yang berada di barisan hadapan, merekalah yang putus kakinya, merekalah yang hilang matanya, cedera anggota tubuh demi mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Bakri menyatakan sokongan terhadap perjuangan veteran ATM untuk mendapatkan pelarasan pencen veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 iaitu seramai 78,000 orang atau 59.13 peratus dari ahli veteran ATM.

“Kedua, saya berharap, kerajaan dapat menambah baik kadar pencen hilang upaya seramai 1,798 ahli veteran,

“Dan yang terakhir, harap kerajaan laksana bantuan sara hidup berterusan pada warga veteran tidak berpencen yang berusia 60 tahun keatas,” tegasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply