NEW DELHI, 4 Mac – Menteri Luar Argentina, Santiago Cafiero menegaskan pihaknya telah menarik diri dari pakatan keamanan Pulau Falkland.
Kepulauan Falkland atau Malvinas dituntut oleh Argentina sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Menurut Santiago, beliau memaklumkan penarikan diri Argentina dari Pakatan Foradori-Duncan yang menyentuh kerjasama Buenos Aires-London terhadap isu tuntutan bertindih tersebut kepada rakan sejawatannya dari United Kingdom semasa persidangan G20.
“Perkara penarikan diri dari kerjasama tersebut telah dimaklumkan kepada Setiausaha Luar Negara United Kingdom,
“Argentina mencadangkan agar rundingan berhubung kedaulatan Malvinas tetap diteruskan,” kata Santiago di akaun Twitter rasmi beliau.
Pakatan Foradori-Duncan dimeterai antara Argentina dan United Kingdom pada tahun 2016 di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam isu tenaga, perkapalan dan perikanan disamping memperakui pendirian masing-masing berhubung pemilikan pulau itu.
Sementara itu, Setiausaha Luar Negara United Kingdom, John Cleverly menegaskan pulau tersebut adalah milik negara itu.
‘Penduduk pulau terbabit mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka dan mereka telah memilih untuk menjadi UK Overseas Territory,” katanya.
Perebutan Kepulauan Falkland antara Argentina dan United Kingdom berlaku semenjak 1833. Tuntutan bertindih antara kedua-dua negara telah menyebabkan konflik bersenjata selama 10 minggu pada tahun 1982.
Dalam peperangan tersebut, Argentina bertindak menawan dan menduduki Kepulauan Falkland selama 2 bulan. United Kingdom pada ketika itu di bawah kepimpinan Margaret Thatcher telah menawan kembali kawasan kepulauan tersebut dan Argentina menyerah kalah pada pertengahan Jun 1982.
Perkembangan terbaharu ini dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan baharu antara Argentina dan United Kingdom memandangkan tuntutan bertindih antara kedua-dua negara terhadap pulau itu masih dianggap belum selesai. – airtimes.my