KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini menyatakan kira-kira 2,000 anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam pelaksanaan Op Murni di seluruh negara.
Menurutnya dalam satu kenyataan, OP Murni ATM telah diaktifkan semenjak 1 Mac lalu bagi membolehkan atur gerak pasukan untuk membantu mangsa banjir tanpa perlu menunggu arahan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada penilaian situasi banjir di kawasan tanggungjawab masing-masing,” kata kenyataan itu.
Kementerian Pertahanan menjelaskan bilangan tersebut adalah berdasarkan maklumat terakhir pada pukul 6 petang 3 Mac 2023. Ini merangkumi jumlah anggota dan aset ATM yang diatur gerak bagi 5 negeri yang terjejas dengan bencana banjir iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.
Tambahnya, ATM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta berkuasa tempatan bekerjasama dengan PKOB peringkat daerah bagi memastikan koordinasi operasi dan bantuan berjalan dengan lancar.
“ATM akan terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di negeri dan kawasan yang terjejas. Ia merangkumi 3 fasa utama atur gerak OP MURNI iaitu Pra-Aturgerak Banjir (Sebelum), Semasa Banjir dan Pasca Banjir (selepas),
“Demi menjamin kesejahteraan masyarakat dan rakyat, Kementerian Pertahanan dan ATM akan tetap bersama dan sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti, dan perancangan khusus operasi pasca banjir di negeri-negeri terlibat juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan itu. – airtimes.my