Home Pertahanan dan Keselamatan Bot bersama 4 kru Perikanan ditemui selamat di Kepulauan Batam

Bot bersama 4 kru Perikanan ditemui selamat di Kepulauan Batam

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor, PL87 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi petang semalam ditemukan dalam keadaan selamat di Kepulauan Batam, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan APMM Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, 4 kakitangan dan bot Jabatan Perikanan Negeri Johor itu ditemui oleh kapal KRI SIGALU 857 milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) di kedudukan 23 batu nautika tenggara Tanjung Piai di perairan Batam pada 1.45 petang tadi.

Menurutnya, bot yang dilaporkan hilang itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sejauh 13 batu nautika sehingga memasuki perairan Indonesia.

“Bot PL87 itu ditemukan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada pukul 1.45 petang tadi di kedudukan satu batu nautika di perairan Pulau Kepalajerih,

“Kesemua mangsa ditemui di dalam sihat dan selamat. Urusan penghantaran pulang sedang diuruskan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan sebuah bot Perikanan PL87 hilang ketika dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi dari Tanjung Pengelih pada pukul 12.45 tengah hari, semalam dan sepatutnya tiba pada jam 6.30 petang.

4 kru berkenaan ialah Fatimah Razak, 36; Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanim, 52 dan Marzuki Jusuh, 53.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia serta Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi Carilamat ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply