Home Pertahanan dan Keselamatan 4 pegawai Imigresen dalang seludup masuk PATI diberkas

4 pegawai Imigresen dalang seludup masuk PATI diberkas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Empat orang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana disyaki terlibat membantu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah disenarai hitam untuk kembali memasuki negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua pegawai berusia antara 35 hingga 45 tahun itu ditahan Jumaat lalu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Putrajaya serta pegawai operasi JIM Sarawak.

“Hasil risikan dan siasatan hampir 3 bulan mendapati pegawai berkenaan bersubahat dengan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dalam operasi yang sama, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ketika sedang menguruskan warga asing di rumah penampungan.

“Kami juga menahan 63 warga Indonesia terdiri daripada 37 lelaki dan 26 wanita berusia antara 22 hingga 52 tahun. Seramai 30 orang ditahan di rumah transit berkenaan,

“Dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan 3 juta rupiah (RM876),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, seramai 33 lagi individu turut ditahan ketika pemeriksaan bas di sekitar Bintulu.

“Pemeriksaan ini dilakukan terhadap 2 bas yang disyaki membawa warga asing berdasarkan maklumat diterima,

“Dalam operasi sama, kami juga menahan empat pegawai Imigresen yang disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengaut keuntungan lebih RM80,000 sebulan hasil bayaran sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 yang dikenakan untuk setiap migran yang ingin memasuki negara ini.

“Sindiket ini dipercayai telah hampir 8 bulan beroperasi. Mereka mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai imigresen berkenaan melibatkan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kemasukan,

“Mereka kemudian akan dibawa ke rumah transit yang telah ditetapkan oleh sindiket sebelum dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum dibawa ke Semenanjung Malaysia melalui laluan domestik,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua pegawai imigresen dan ketua sindiket yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala yang lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus memburu sindiket yang terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah akta berkaitan.-airtimes.my

Pegawai Imigresen yang terbabit dipercayai menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat ke destinasi.

#PATI #Imigresen #Malaysia #Indonesia #dalang #airtimes #pertahanan

 

 

Related Articles

Leave a Reply