Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal OPV belum siap: Kerajaan beri suntikan RM152.6 juta

Kapal OPV belum siap: Kerajaan beri suntikan RM152.6 juta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Kerajaan telah mengambil alih projek kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daripada bekas anak syarikat Tabung Haji selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan akan menyuntik pinjaman RM152.6 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

“Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan,

“Dari tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan, iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Pada 13 September 2022, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, 3 buah kapal OPV yang sepatutnya diterima pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Klang.

Susulan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan APMM bagi menjelaskan kelewatan perolehan OPV itu.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata, semua masalah berkaitan projek membabitkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan cuba diselesaikan.

“Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian akibat pelaksanaan lemah,

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan OPV ini disiapkan mengikut jadual. Keduanya, tidak melepaskan sesiapa yang salah guna kuasa atau kaut kekayaan tanpa siasatan,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply