Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, PDRM guna modul NTF kuatkuasa penugasan selepas Op Benteng

ATM, PDRM guna modul NTF kuatkuasa penugasan selepas Op Benteng

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=lGtPcm6UhoE[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menggunapakai modul penugasan National Task Force (NTF) yang digunakan sebelum ini.

Ini susulan pembubaran secara rasmi NTF berkuat kuasa Sabtu ini, selepas ditubuhkan pada 6 Mei 2020.

Panglima Angkatan Tentera (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata ATM dan PDRM akan memperbaiki mekanisma yang sedia ada dalam menguatkuasakan kawalan sempadan termasuk Operasi Benteng (Op Benteng) dengan menggunakan modul penugasan NTF yang digunakan sepanjang penubuhannya.

“Ini selepas kita melihat keberhasilannya apabila nilai rampasan sepanjang penugasan Op Benteng mencatatkan jumlah RM1.1 bilion dan tangkapan seramai 7,490 tangkapan yang melibatkan 1,444 tekong; 23,984 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1,377 penyeludup,

“Kita akan memperbaiki mekanisme yang digunapakai sebelum ini. Contohnya antara ATM dan PDRM yang mempunyai satu gabungan kawalan sempadan sekarang dan sebelum ini,

“Jadi kita akan memperbaiki mekanisme tersebut supaya penugasan kawalan sempadan dapat dilakukan menggunakan kaedah NTF yang sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran NTF di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Affendi berkata, satu pelan tindakan atau kertas biru (blueprint) penugasan NTF akan diwujudkan sebagai panduan apabila situasi sama dihadapi pada masa akan datang, selain sebagai petunjuk kepada generasi penguat kuasa akan datang.

“Malah segala pengalaman yang dilalui NTF juga akan direkodkan dalam pelan tindakan ini sebagai rujukan. Paling penting, fokus terhadap keselamatan negara perlu diteruskan demi keamanan dan kemakmuran negara kita,” ujarnya lagi.

Op Benteng ditubuhkan melalui kuasa Akta 342, iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan PATI serta mengekang penyebaran COVID-19 seperti diarahkan MKN pada 29 April 2020.

Jelas Affendi, NTF sebagai satu gabungan yang mencapai kejayaan disebabkan kerjasama dan perkongsian maklumat perisikan efektif antara semua 18 agensi keselamatan serta penguatkuasaan yang diterajui ATM.

Dalam masa yang sama, Affendi turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada ATM untuk menerajui pengoperasian NTF. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply