Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850 bakal dilengkapi aset kenderaan perisai 4X4 PANTHERA

MALBATT 850 bakal dilengkapi aset kenderaan perisai 4X4 PANTHERA

by Nurulhuda

ANKARA, 15 Dis – Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850 bakal dilengkapi dengan Kenderaan Perisai (KP) 4 x 4 Armoured Personnel Carrier (APC) bagi meningkatkan tahap kesiagaan ketumbukan itu dalam melaksanakan misi pengaman di Lubnan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, pasukan pengaman itu bakal dibekalkan dengan 4×4 APC yang diberikan nama sebagai KP 4×4 PANTHERA.

Menurut TDM, nama Panthera atau nama saintifiknya Panthera Pardus dipilih kerana haiwan ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pelbagai habitat di seluruh dunia dan merupakan pemangsa yang pintar sesuai dengan KP ini yang boleh diaturgerak dalam semua keadaan.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Zamrose Mohd Zain telah menghadiri Sesi Pengesahan Rektifikasi Kenderaan Perisai (KP) 4 x 4 APC untuk kegunaan MALBATT 850 di Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara pada Rabu.

“Setelah selesai pengesahan rektifikasi, PTD turut menyempurnakan sesi mentauliahkan First Unit Vehicle (FUV) 4 x 4 APC tersebut sebelum syarikat meneruskan pembikinan kenderaan untuk TDM di Kompleks Pengilangan dan Pengeluaran Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara,

“Bagi menzahirkan rasa bangga dikalangan warga Tentera Darat dalam mengoperasikan KP tersebut, KP 4×4 APC telah dijenamakan dengan nama KP 4×4 PANTHERA,” jelas TDM.

Tambah TDM, perolehan aset kenderaan sebegini ini juga dapat mengukuhkan hubungan kerjasama pertahanan di antara Malaysia dan Turki.

“Ia juga seiring dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28, iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan yang menumpukan kepada kerjasama dua hala serantau dan antarabangsa,” ujar TDM lagi.

Kenderaan perisai Panthera ini bakal menyertai kenderaan MRAP IAG Guardian yang turut digunakan oleh kontinjen MALBATT di Lubnan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply