Home PolitikBarisan Nasional Walaupun tak sebut kesalahan dengan spesifik, saya terima dengan lapang dada – Annuar

Walaupun tak sebut kesalahan dengan spesifik, saya terima dengan lapang dada – Annuar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sudah menerima surat perlucutan keahliannya daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin.

Bagaimanapun, bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, surat itu tidak menyebut secara spesifik kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

“Alhamdulillah, baru hari ini saya menerima surat makluman perlucutan keahlian UMNO daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan,

“Surat hanya menyebut seksyen seksyen berkaitan tanpa sebutan spesifik perbuatan atau tuduhan yang terkait dengannya,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Annuar turut berkongsi gambar surat bertarikh 9 Disember 2022 yang diterima beliau itu bersama gambar seksyen-seksyen yang disebutkan dalam surat berkenaan.

Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia bagaimanapun menegaskan beliau menerima surat itu secara berlapang dada dan akan menjawabnya dalam masa terdekat.

“Apa pun saya menerimanya secara berlapang dada. Saya ucapkan terima kasih,

“Insya-Allah, sehari dua lagi saya akan menjawab surat yang saya terima,” tambahnya lagi.

Pada Jumaat lalu, Ahmad mengesahkan Annuar adalah antara 3 individu yang dipecat keahliannya selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO diadakan.
Ahmad berkata, tindakan pelucutan keahlian itu adalah kerana tindakan mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dan didakwa membantu kempen parti musuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply