Home Pertahanan dan Keselamatan Bekas juruterbang MiG-29N dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama baharu

Bekas juruterbang MiG-29N dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama baharu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar Mohd TUDM telah dilantik menjadi Panglima Angkatan Bersama ke-14.

Beliau menggantikan Panglima Angkatan Bersama ke-13, Lt Jen Dato’ Indera Yazid Arshad TUDM yang telah menerajui Markas Angkatan Bersama semenjak 17 Februari 2020 hingga 5 Disember 2022.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam satu kenyataan berkata, Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Bersama telah diadakan pada 6 Disember lalu di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyaksikan serah terima tugas Panglima Angkatan Bersama di antara Leftenan Jeneral Dato’ Indera Yazid Arshad TUDM (kiri) dengan Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar Mohd TUDM (kanan). Foto: Markas Angkatan Bersama

Satu upacara Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Bersama ke-13 telah diadakan di Kem Al Sultan Abdullah, Kuantan sebagai simbolik penghargaan warga MK AB kepada Yazid.

“Beliau telah menabur bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 40 tahun dan merupakan salah seorang Juruterbang di dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

“Sepanjang pemerintahan sebagai Panglima Angkatan Bersama ke-13, beliau telah banyak memacu kecemerlangan MK AB dalam melaksanakan operasi di dalam dan di luar negara selain memainkan peranan penting dalam memastikan setiap eksesais bersama negara-negara luar dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata Bahagian Hal Ehwal Awam Markas MK AB dalam satu kenyataan.

Panglima Angkatan Bersama ke-14, Noor Mohamad Akmar merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. Beliau ditauliahkan sebagai  pegawai TUDM pada 1985 dan telah mengoperasikan pesawat tempur Aermacchi MB 339A, Northrop F-5E/F serta MiG 29N Fulcrum. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply