Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-9 dibubarkan 854 pegawai dan anggota pengaman terima pingat PNBB

MALBATT 850-9 dibubarkan 854 pegawai dan anggota pengaman terima pingat PNBB

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 5 Dis – Seramai 854 pegawai dan anggota pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-9 menerima pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di padang Kawad Kem Segenting, hari ini.

Kontinjen yang diketuai Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin itu terdiri daripada 83 pegawai dan 771 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3 pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam kewangan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia.

Pasukan MALBATT 850-9 telah tamat melaksanakan tugas selama setahun bagi melengkapkan penugasan sebagai pasukan pengaman dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan pada 12 November lalu.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Panglima Angkatan Bersama meluahkan rasa bersyukur dengan pencapaian yang membanggakan kontijen MALBATT 850-9 di Selatan Lubnan.

“Walaupun perlu berhadapan dengan cabaran yang besar seperti land of uncertainty dan juga kestabilan negara yang agak rapuh, ianya sedikitpun tidak menjejaskan kesiapsiagaan kontinjen ini,

“Sebaliknya, dengan berbekalkan prinsip serving for peace, cabaran-cabaran tersebut telah menjadi pemangkin untuk kontinjen ini terus mengekalkan tempo juang yang tinggi agar bersedia diatur gerak dalam apa jua operasi, selain mampu bekerjasama dengan pelbagai angkatan tentera negara luar dan tempatan,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Komander MALBATT 850-9, iaitu Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin, yang dikurniakan pingat pengiktirafan iaitu Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace daripada kerajaan Itali.

“Saya secara peribadinya mengucapkan terima kasih dan amat menghargai sikap profesionalisma yang dipamerkan sepanjang mengetuai kontinjen ini,

“Hasil kepimpinan saudara yang jitu, kontinjen ini bukan sahaja telah dapat melaksanakan misi yang diamanahkan dengan jayanya, malah kecemerlangan kepimpinan ini telah melayakkan saudara dikurniakan pingat yang disampaikan sendiri oleh komander sektor barat unifil iaitu Brigedier Jeneral Guiseppe Bertoncello. Syabas saya ucapkan,” ujarnya lagi.

Selain itu, Yazid berkata, pelaksanaan beberapa aktiviti lain dan pencapaian tempat ke-3 dalam pertandingan Environmental Award merupakan sesuatu yang amat signifikan dalam mendukung kejayaan MALBATT 850-9 sepanjang berada di sana.

“Sesungguhnya, keadaan ini telah memudahkan segala urusan penugasan kontinjen sama ada sebagai sebuah pasukan pengaman ataupun sebagai duta kecil negara,

“Dengannya, bukan sahaja aspek diplomasi pertahanan negara dapat dipertingkat, malah nilai-nilai murni kehidupan di dalam masyarakat majmuk, sepertimana yang diamalkan di Malaysia, boleh disampaikan dengan lebih tepat dan berkesan kepada penduduk tempatan dalam mencorak pembangunan negara ke arah keamanan serta kesejahteraan yang telah lama diharapkan oleh mereka,” jelas Panglima MK AB.

Turut hadir, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Datuk Seri Alirupendi Perudin dan Pegawai Kanan ATM.

MALBATT 850-9 telah diaturgerakkan kembali ke tanah air secara 4 peringkat bermula pada 28 Oktober lalu dengan menaiki pesawat sewa khas Malaysia Airlines (MAS) dari Beirut ke Pangkalan Udara Subang.

Misi seterusnya telah diambil alih oleh MALBATT 850-10 yang diketuai oleh Kolonel Mohd Rizman Ramli mulai 17 November lalu, juga selama setahun. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply