Home Pertahanan dan Keselamatan ATM rancang ganti aset usang MALBATT di Lubnan

ATM rancang ganti aset usang MALBATT di Lubnan

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 5 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perancangan menggantikan aset-aset digunakan dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang usang dan sudah mencapai tempoh efektif secara berfasa.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, penggantian aset itu, termasuk 39 unit kereta perisai Condor yang digunakan sejak 2006, sekali gus memastikan kesiapsiagaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di negara berkenaan berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, meskipun telah berusia, aset tersebut masih boleh beroperasi dengan baik berikutan penyelenggaraan yang sistematik, malah selain Lubnan ia juga digunakan di Somalia serta Bosnia Herzegovina.

“Baru-baru ini, kita juga dapat beberapa aset termasuk 20 pacuan empat roda FFR (Fitted for Radio) dan 15 trak tiga tan GS Cargo selain enam trak tiga tan, dua trak satu tan dan dua ambulans serta peralatan komunikasi,

“Akan datang kita rancang membuat perolehan 20 kenderaan jenis Armor bagi menggantikan kenderaan Condor yang kita miliki sekarang, secara berfasa yang diperoleh antara 2026 hingga 2028,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, ATM turut merancang perolehan 59 High Mobility Light Tactical Vehicle yang akan dilaksanakan oleh tentera darat dalam meningkatkan keupayaan operasi.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply