Home Pertahanan dan Keselamatan APMM gagalkan cubaan bom ikan, seludup 400kg minyak masak

APMM gagalkan cubaan bom ikan, seludup 400kg minyak masak

by Nurulhuda

SEMPORNA, 2 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna berjaya menggagalkan aktiviti mengebom ikan serta cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubdisidi di perairan Semporna, semalam.

Pengarah APMM Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua tangkapan dilaksanakan bot peronda APMM yang sedang menjalankan penugasan Operasi (Op) Pluto Timur kira-kira jam 11 pagi.

“Kes pertama dibuat selepas bot peronda mengesan sebuah bot pam berwarna biru dan kelabu tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di sekitar 0.1 Batu Nautika Utara Kampung Gelam-Gelam,

“Semasa dihampiri, tekong bot bertindak terjun melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran dan hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan beberapa peralatan mengebom ikan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya juga telah mengesan sebuah lagi bot bewarna hijau tanpa nombor pendaftaran yang melalui kawasan berhampiran lokasi kejadian.

“Secara tiba- tiba tekong bot juga bertindak terjun meninggalkan bot dan faktor muka bumi serta perairan yang cetek menyukarkan usaha mengesan serta menahan suspek,

“Hasil pemeriksaan bot kedua itu menemukan beberapa bungkusan berisi minyak masak paket bersubsidi seberat 400 kilogram dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” ujarnya lagi.

Amir Shubli memaklumkan, kedua-dua bot tersebut kemudiannya ditunda dan diiring ke Jeti APMM Semporna untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM23,000 manakala kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.

“Siasatan lanjut juga akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini,” tambahnya.

Beliau berkata, aktiviti pengeboman ikan yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dengan membawa kesan bukan sekadar merosakkan ekosistem di laut malah akan menjejaskan industri pelancongan di perairan Semporna.

“Impak letupan boleh mendatangkan kecederaan, kehilangan nyawa serta ancaman bahaya terutama kepada penyelam rekreasi di kawasan berdekatan,

“Kita akan melakukan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar kawasan pelancongan serta sempadan perairan negara bagi membanteras jenayah dilaut,

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes atau lain-lain kegiatan jenayah maritim agar menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna dengan segera. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply