Home Pertahanan dan Keselamatan ‘Main kasar’, Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar ganti rugi RM500,000

‘Main kasar’, Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar ganti rugi RM500,000

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dituntut membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 susulan kenyataan fitnah berhubung isu perolehan meriam artileri jenis Self-Propelled Howitzer (SPH).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menjelaskan, Rafizi juga digesa untuk memadam kenyataan fitnah dan berhenti daripada menyebarkan serta mengulangi pernyataan fitnah terhadap beliau serta isterinya.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pandan itu juga, beliau diminta memaparkan permohonan maaf secara terbuka dan membersihkan kembali nama beliau serta isteri yang telah tercalar.

“Memandangkan Rafizi pada kali ini telah ‘main kasar’ dengan turut mengheret keluarga saya dalam kenyataan fitnah beliau yang terbaru,

“Saya dan isteri saya melalui peguam kami telah menghantar Letter Of Demand: Notice To Cease And Desist Defematory Statements Made On Social Media kepada Rafizi,

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh 7 hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah,” kayanya dalam kenyataan malam tadi.

Ikmal Hisham menjelaskan, tindakan ini diambil adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tangunggjawab menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah’ saya bersedia untuk ke mahkamah untuk membersihkan nama saya dari fitnah yang tidak bertanggungjawab dibuat oleh Saudara Rafizi ini,

“Janganlah sekali-kali melibatkan anak isteri sesiapapun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi,” tegasnya.

Rafizi sebelum ini berterusan membuat pendedahan berhubung penglibatan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH, bagaimanapun laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan ini pada 7 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham menjelaskan, Rafizi bertindak sedemikian berikutan mulai takut gelombang sokongan diterima Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Menyedari dan merasai gelombang sokongan kepada PN semakin meningkat, Rafizi ‘ketar lutut’ dan berusaha untuk memburukkan pasukan lawan,

“Tiada strategi lain yang dapat difikirkan, Rafizi dalam tempoh yang kritikal ini melainkan untuk menabur fitnah. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membawa rakyat berhalusinasi bersama beliau membuat andaian bahawa orang lain tidak bersih dan hanya beliau yang suci murni,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau sudah berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja ketat.

“Ia juga mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh end-user iaitu pihak Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

“Tiada sesiapapun yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan end-user dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara,” tegas Ikmal Hisham.

Related Articles

Leave a Reply