Home Pertahanan dan Keselamatan APMM cekup 2 lelaki Thailand, rampas pistol dan 10kg syabu

APMM cekup 2 lelaki Thailand, rampas pistol dan 10kg syabu

by Nurulhuda

KANGAR, 1 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan 2 lelaki warga Thailand dan merampas sepucuk pistol automatik serta 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu, di kedudukan 14 batu nautika dari barat laut Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 8 malam selepas anggotanya mengesan bot kayu dari jenis enjin bergalah dengan 2 lelaki menyusuri perairan menuju ke Langkawi.

Katanya, bot APMM dalam rondaan rutin dan menerima maklumat kehadiran bot tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak dalam gelap dan mencurigakan memasuki perairan Malaysia dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, didapati 2 lelaki disyaki warga Thailand berada di atas bot berkenaan,

“Seterusnya hasil penggeledahan telah menemukan satu guni berwarna putih berisi 10 bungkusan teh cina yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu berada dalam bahagian bawah dek bot kayu berkenaan,

“Selain itu, sepucuk pistol bersama satu kelopak berisi 5 butir peluru hidup turut ditemui dalam bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, senjata yang dirampas dipercayai adalah digunakan sebagai jaminan suspek dalam melakukan aktiviti penyeludupan dadah.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM520 ribu, manakala jumlah dadah itu dipercayai bagi kegunaan lebih 50 ribu penagih.

Romli menjelaskan, semua hasil rampasan dan kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke pejabat APMM Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Romli turut menjelaskan, sindiket pengedaran dadah menukar modus operasi penyeludupan menerusi jalan laut menggunakan bot kayu enjin bergalah yang memudahkan pergerakan di kawasan cetek. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply