Home Pertahanan dan Keselamatan Kes penculikan warga Palestin: Jangan timbulkan spekulasi – KPN

Kes penculikan warga Palestin: Jangan timbulkan spekulasi – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Pihak polis meminta orang ramai agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat dalam kes penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur bulan lalu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember depan.

Beliau mengesahkan 11 individu yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu merupakan suspek dalam kes penculikan lelaki Palestin.

“Penculikan itu adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit,” jelasnya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, 10 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 42 tahun didakwa dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang pada jam 10.40 malam pada 28 September lalu yang didakwa dibawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Semalam, media melaporkan, pihak polis berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, MOSSAD di negara ini dengan penahanan 2 orang rakyat Malaysia disyaki terlibat dalam satu kes penculikan melibatkan warga Palestin pada akhir September lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply