Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD PENDEKAR tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Pulau Tioman

KD PENDEKAR tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Pulau Tioman

by Air Times News Network

PULAU TIOMAN, 18 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas dan menahan sebuah bot nelayan Vietnam cuba menceroboh perairan negara kira-kira di 30 batu nautika utara Pulau Tioman, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, 6 buah bot nelayan Vietnam yang dikesan cuba melarikan diri ke arah utara sejurus menyedari kehadiran aset TLDM setelah menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Katanya, sejurus mendapat maklumat yang dikongsikan Rakan Maritim Endau, Rompin, Kapal Diraja (KD) PENDEKAR yang sedang melaksanakan rondaan ZMM dan Operasi Kekal Warisan telah diaturgerakkan dan berjaya memintas serta menahan sebuah bot terhampir.

“Semasa melakaksanakan pengeledahan ke atas bot tersebut, terdapat 14 orang awak-awak warganegara Vietnam di atas bot yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,

“Hasil pemeriksaan juga mendapati sebanyak 8 buah peti simpanan yang penuh dengan hasil laut dan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

Menurutnya, maklumat telah disalurkan kepada aset Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) iaitu Kapal Maritim (KM) MARUDU.

“Bot tersebut telah diserahkan kepada KM MARUDU untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,

“KD PENDEKAR kemudian meneruskan rondaan di ZMM bagi mengesan bot-bot yang telah melarikan diri dan nelayan tersebut dipercayai telah keluar dari ZMM,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh Rakan Maritim serta kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan sama ada di laut mahupun di darat.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply