Home Pertahanan dan Keselamatan Kontrak Meriam SPH: Iklmal Hisham buat laporan polis terhadap Rafizi

Kontrak Meriam SPH: Iklmal Hisham buat laporan polis terhadap Rafizi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz membuat satu laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan fitnah dan tohmahan yang dilakukan terhadap beliau.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Hari ini (7 Oktober 2022), Setiausaha Sulit Kanan saya, Mohammad Iskandar Idris bagi pihak saya telah membuat laporan polis ke atas Rafizi Ramli,

“Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya,

“Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan/mempengaruh pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikhmal Hisham memaklumkan, laporan itu dibuat berhubung tindakan Mohd Rafizi Ramli yang memuatkan satu artikel dalam Facebook beliau pada 6 Oktober 2022 dengan tajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’.

Ihkmal Hisham menegaskan, tuduhan itu mengaitkan beliau dengan sebuah syarikat, MA Analytics Sdn Bhd.

Jelas Ahli Parlimen Tanah Merah itu, Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Langkah itu diambil sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.

“Oleh itu apa yang dinyatakan oleh Mohd Rafizi Ramli dalam artikel itu juga adalah tohmahan yang bertujuan merosakkan nama baik saya dan menyemarakkan kebencian orang awam terhadap saya,

“Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Mohd Rafizi melalui peruntukan undang-undag sedia ada,

“Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Ikhmal Hisham berkata, beliau bersedia menghadapi siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selasa lalu, Rafizi mendedahkan satu lagi skandal melibatkan tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan TDM membabitkan peruntukan RM854 juta.

Rafizi mendakwa, penganugerahan tender tersebut diberi secara terus kepada syarikat yang baru ditubuhkan dua tahun, MA Analytic Sdn Bhd dan mendapat sokongan daripada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

Tegasnya, semakan latar belakang syarikat MA Analytics di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati barisan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu terdiri daripada anak-anak muda, yang disifatkan kurang berpengalaman menguruskan projek besar melibatkan aset senjata negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply