Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam Johor rampas rokok seludup bernilai lebih RM10 juta

Kastam Johor rampas rokok seludup bernilai lebih RM10 juta

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 3 Okt – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 9,180,000 batang rokok putih pelbagai jenama dianggar bernilai lebih RM10 juta.

Ia adalah hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, 22 September lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rokok seludup itu dikesan ketika anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah menjalankan pemeriksaan pada pukul 11.20 pagi.

Beliau berkata, anggota Bahagian Penguatkuasaan Gelang Patah melakukan pemeriksaan ke atas kontena terbabit selepas imbasan menunjukkan imej meragukan.

“Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Pusat Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan destinasi terakhir yang diikrar adalah di Pelabuhan Kota Kinabalu,

“Pemeriksaan imbasan mendapati imej tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara,” jelasnya pada Ahad.

Sazali berkata, semakan ke atas dokumen mendapati kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, peralatan bayi dan pemanggang barbeku elektrik.

“Rokok yang dirampas itu dianggar bernilai RM3.67 juta manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah RM6.42 juta,

“Ia menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah lebih RM10 juta,” ujarnya.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu adalah membuat pengikraran tidak benar dan menjadikan PTP sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke lokasi lain.

Kes disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit.

Related Articles

Leave a Reply