Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot, 2 kru warga Indonesia kaut hasil negara

APMM tahan bot, 2 kru warga Indonesia kaut hasil negara

by Air Times News Network

TANJUNG MANIS, 10 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maririm Tanjung Manis berjaya menahan sebuah bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 68 batu nautika Barat Laut Tanjung Jerijeh pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, pada jam 10.26 malam, Kapal Maritim (KM) SEMILANG dalam rondaan Operasi Permai di sekitar perairan Jerijeh telah mengesan sebuah bot yang tiada nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil penggeledahan serta pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong dan kru warga Indonesia berumur dalam 15 hingga 51 tahun,

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurut Gilbert, tekong tersebut memaklumkan bot tersebut dari Natuna Besar, Indonesia.

“Kedua-dua kru bot berkenaan ditahan dan peralatan menangkap ikan serta sejumlah ikan turut dirampas,

“Bot dan hasil rampasan diiring masuk ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply