Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Thailand perkasa kerjasama pertahanan negara – Hishammuddin

Malaysia, Thailand perkasa kerjasama pertahanan negara – Hishammuddin

by Nurulhuda

BANGKOK, 29 Ogos – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mewujudkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan menjadi platform strategik dalam mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan kedua-dua buah negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, MoU yang akan mengukuhkan kerjasama ketenteraan dan menerokai bidang termasuk industri pertahanan serta sains dan teknologi kedua-dua buah negara itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

“Memandangkan kerjasama ketenteraan yang meluas antara Malaysia dan kerajaan Thailand, saya mencadangkan penubuhan MoU dalam kerjasama pertahanan untuk dijadikan platform strategik dalam mengukuhkan kerjasama ketenteraan,

“Ia sekaligus akan meneroka bidang kerjasama baharu seperti industri pertahanan, sains dan teknologi pertahanan kita,

“Saya dan Menteri Pertahanan Thailand, Prayuth Chan o-cha dan saya telah menugaskan Pegawai Kanan untuk memuktamadkan MoU berkenaan sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hishammuddin yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke negara tersebut bagi menghadiri pameran Pertahanan dan Keselamatan 2022 di IMPACT berkata, perjumpaan 4 mata itu turut membincangkan isu antarabangsa dan keselamatan global seperti konflik Rusia-Ukraine, Myanmar serta pembangunan Rentas Selat.

Beliau menjelaskan, Malaysia dan Thailand terus mengukuhkan kerjasama pertahanan kedua-dua buah negara melalui 3 latihan bersama iaitu diantara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thai (RTARF) iaitu THAMAL Udara, THAMAL Darat, dan THAMAL Laut.

“Kedua-dua MAF dan RTARF turut menyertai COBRA GOLD tahun ini, satu latihan pelbagai hala
dihoskan bersama oleh Kerajaan Thailand dan Amerika Syarikat,” jelasnya.

Sementara itu, Hishammuddin juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan kepada Prayuth bahawa Menteri Pertahanan Indonesia dan Singapura telah menyokong cadangan Malaysia untuk meningkatkan Rondaan Maritim Selat Melaka (MSP) dengan memperkenalkan Mesyuarat Menteri-menteri Quadrilateral membabitkan negara-negara yang terlibat.

“Prayuth mengalu-alukan cadangan itu dan berharap untuk menganjurkan Mesyuarat Menteri-menteri Quadrilateral di Thailand pada akhir tahun ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut menyaksikan Majlis Penyerahan Kontrak Penyertaan di mana lima syarikat memeterai komitmen mereka untuk mengambil bahagian – iaitu Kallman Worldwide, mewakili Pavilion Amerika Syarikat; Perkhidmatan Pexpo, mewakili Pavilion Jerman; Advance Defence System Sdn Bhd; MILDEF International Technologies Sdn Bhd; dan Ada Vinci Global Sdn Bhd.

Menteri Kanan Pertahanan itu turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas pemangku Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan di bangunan kerajaan bagi memperkukuh serta mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Thailand sebelum mengakhiri lawatan kerjanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply