Home Pertahanan dan Keselamatan KD LEKIU mulakan pelayaran 86 hari, tempuh 4 latihan dalam dan luar negara

KD LEKIU mulakan pelayaran 86 hari, tempuh 4 latihan dalam dan luar negara

by M.Daim

LUMUT, 24 Ogos – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LEKIU mula melaksanakan misi pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 selama 86 hari.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, kapal berusia 23 tahun itu akan menjalani 4 latihan ketenteraan di dalam dan luar negara sepanjang tempoh pelayaran tersebut.

Misi kapal ini diketuai oleh Pegawai Memerintah KD LEKIU, Kepten Mohd Reduan Ayob TLDM.

imbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor Menyampaikan Amanat Kepada Warga KD LEKIU Yang Akan Melaksanakan Misi Pelayaran Regional Partnership Exercise 2022. Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

“Antara latihan yang akan dilaksanakan oleh KD LEKIU adalah satu eksesais multilateral, 2 eksesais bilateral dan satu eksesais skala TLDM berskala besar,

“Misi pelayaran KD LEKIU bermula 23 Ogos dan berakhir 17 November 2022,” kata Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan.

Misi pelayaran kapal berusia 23 tahun itu bermula dengan Majlis Pelepasan Tali KD LEKIU yang disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Bon Voyage! Timbalan Panglima Armada Barat melepaskan tali terakhir kapal bersama ahli keluarga KD LEKIU Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

Jelasnya, keempat-empat eksesais tersebut akan melibatkan penyertaan KD LEKIU secara berterusan.

“Ia menjadi bukti kesediaan dan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara. Pada masa yang sama, ia turut menunjukkan tahap profesionalisme warga Navy People pada tahap yang tertinggi,

“Pelayaran ini menunjukkan komitmen TLDM dalam memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antara bangsa seiring angkatan laut di peringkat global melalui kerjasama serantau,” kata kenyataan itu.

KD LEKIU dijangka akan melaksanakan latihan bersama bilateral dengan Tentara Nasional Indonesia -Angkatan Laut (TNI-AL)  dalam Eks MALINDO JAYA 26/22 di Surabaya. Eksesais ini merupakan latihan pertama yang akan dilaksanakan oleh KD LEKIU dalam misi pelayaran 86 hari ini.

Lambaian ibu mendoakan anaknya selamat menjalankan tugas demi agama, bangsa dan negara
Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

Menurut TLDM, eksesais ini juga akan KD SRI INDERA SAKTI dan aset sokongan lain TLDM.

Selesai melaksanakan eksesais di Indonesia, KD LEKIU akan menyertai eksesais multilateral, Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia. Eksesais yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia (Royal Australian Navy, RAN) ini merupakan latihan dwitahunan perdana yang menghimpunkan pelbagai aset berskala besar dengan penyertaan negara-negara serantau.

Timbalan Panglima Armada Barat hadir menyempurnakan Majlis Pelepasan Tali KD LEKIU di Pangkalan TLDM Lumur, semalam. Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

KD LEKIU akan memulakan pelayaran pulang ke tanah air dengan menyertai Eksesais KERISMAS 2022 di Laut China Selatan.

“Eksesais ini merupakan latihan berskala besar dalam negara yang dilaksanakan secara tahunan dan melibatkan 27 aset TLDM,

“Latihan ini adalah penting bagi memperagakan aset dan kehadiran TLDM dalam mempertahankan kedaulatan zon-zin maritim Malaysia,” jelas kenyataan itu.


Walaupun penugasan jauh di perantauan, kebajikan keluarga anggota TLDM akan sentiasa terpelihara
Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

Eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura, Eks MALAPURA 30/22 merupakan latihan terakhir yang akan disertai oleh KD LEKIU.

“Latihan bilateral dengan Singapura ini bertujuan untuk meningkatkan persefahaman angkatan laut dalam meningkatkan kebolehoperasian bersama dan kerjasama antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Demi tugas dan negara, kru KD LEKIU akan berjauhan dari keluarga selama 86 hari bagi melaksanakan misi pelayaran serantau. Foto: Markas Pemerintahan Armada Barat/TLDM

Melihat misi pelayaran ini, KD LEKIU sudah tentu menggalas satu amanah yang berat di mana anak kapalnya akan melaksanakan pelayaran hampir 3 bulan yang melibatkan sejumlah latihan ketenteraan.

Tambahan pula, KD LEKIU yang menginjak usia 23 tahun perkhidmatannya akan membawa nama negara dalam siri-siri latihan bilateral dan multilateral.

KD LEKIU merupakan kapal kovet yang dibina oleh Yarrow Shipbuilders yang berasaskan model F2000 Frigate pada era 1990-an. Kapal ini merupakan salah satu daripada 2 kapal Lekiu dimana sebuah kapal lagi adalah KD JEBAT. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply