Home Pertahanan dan Keselamatan Polis tahan 2 rakyat Malaysia seludup 9 PATI sebagai pekerja kilang

Polis tahan 2 rakyat Malaysia seludup 9 PATI sebagai pekerja kilang

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 22 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 2 tekong termasuk 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Petaling Jaya, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, tangkapan tersebut dibuat ketika polis peronda lebuh raya sedang menjalankan rondaan cegah kemalangan dan jenayah di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) serta Sprint Highway.

“Polis telah mengesan sebuah kenderaan jenis Naza Citra pada jam 11.20 pagi dan mengarahkan pemandu tersebut berhenti,

“Namun pemandu kenderaan tersebut enggan berhenti dan memecut laju secara melulu dari kilometer (KM) 3 hingga KM 8 LDP,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad Fakhruddin berkata, berlaku kejar mengejar sehingga ke SS2/67 Petaling Jaya dan kereta suspek terpaksa berhenti akibat berlaku kemalangan dengan kenderaan awam di kawasan terbabit.

Jelasnya lagi, akibat pelanggaran itu kedua-dua suspek yang berada dibahagian pemandu dan tempat duduk hadapan kenderaan bertindak keluar melarikan diri namun berjaya diberkas pihak polis.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek telah menemui 8 lelaki dan seorang wanita warga asing berumur 22 hingga 43 tahun yang tidak memiliki pengenalan diri,

“Kedua-dua suspek warga tempatan berumur 31 dan 36 tahun bersama kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, polis turut merampas 3 buah telefon bimbit, wang tunai RM500, 9 beg pakaian dan kenderaan yang dinaiki suspek.

Tegasnya, hasil siasatan mendapati kesemua PATI dipercayai dibawa masuk ke Malaysia bagi tujuan bekerja di kilang sekitar Damansara.

“Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 4(5) SOSMA 2012, manakala 9 PATI pula mengikut Seksyen 51(5)(b) Akata Imigresen (Pindaan) 2002 (Akta 155),

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply