SELANGOR, 16 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan silang CSAR (Combat, Search and Rescue) diantara Pasukan Khas Udara (PASKAU) bersama USAF Pararescue Unit di Bukit Jugra.
TUDM dalam hantaran media sosialnya berkata, latihan ini sebahagian keperluan Field Training Exercise (FTX) yang telah dirancang dalam Eksesais Pacific Angel Siri 22-2 (PA 22-2).
“Latihan ‘Life Hoisting Hight’ ini dilaksanakan dengan melibatkan simulasi 2 anggota yang mengalami kecederaan patah tangan, kaki dan tengkuk di kawasan operasi,
“Dalam situasi sebenar teknik ini digunakan oleh anggota CSAR bagi menyelamatkan anggota,” jelas TUDM.
Tambahnya, dalam situasi ini juga helikopter penyelamat tidak dapat membuat pendaratan atas sebab-sebab halangan semula jadi dan risiko yang merbahaya.
Seramai 16 pegawai dan anggota lain-lain pangkat telah terlibat dalam latihan ini termasuk juruterbang serta anak kapal pesawat EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan. – airtimes.my