Home Pertahanan dan Keselamatan Isu Kapal Tempur Persisir: Satu pengkhianatan terbesar di Malaysia – Syed Saddiq

Isu Kapal Tempur Persisir: Satu pengkhianatan terbesar di Malaysia – Syed Saddiq

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=kBxcIvGNJbc[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Projek Kapal Tempur Persisir (LCS) semakin hangat diperkatakan dan hari ini protes terhadap isu tersebut telah disuarakan oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS.

Protes tersebut telah diadakan pada jam 2 petang tadi di perkarangan kompleks membeli-belah Sogo yang dianggotai oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), wakil-wakil parti pembangkang termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut hadir Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak Howard Lee Chuan How serta peguam dan juga aktivis Siti Kassim.

Protes yang turut dikawal oleh pihak polis itu menuntut agar beberapa individu yang terlibat dalam isu kelewatan projek kapal LCS tersebut dikenakan tindakan segera.

Mereka menggesa agar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien meletakkan jawatannya kerana kegagalan menyelesaikan isu tersebut.

Antara yang dituntut diambil tindakan segera termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Syed Saddiq berkata, kes kapal ini merupakan satu pengkhianatan yang terbesar di dalam Malaysia terutamanya kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara.

“Cerita ini bukan cerita yang asing, boleh dirasai kepada anggota polis yang menjaga keselamatan kita semua. Ia juga boleh dirasai oleh anggota tentera yang terlibat dengan pelbagai misi di dalam dan di luar negara demi mempertahankan kedaulatan negara,

“Berbulan-bulan terpisah dengan keluarga. Masuk ke hutan pertahankan negara. Cara rakyat menjaga mereka (tentera) adalah dengan memastikan bahawa mereka mempunyai peratan yang canggih supaya hak dan keselamatan mereka terbela serta terjaga,

“Ini bukan perkara kecil, kerana apabila ada kerajaan yang sanggup mengorbakan keselamatan mereka, kedaulatan negara apabila mereka sanggup mengorbankan darah untuk negara, ini adalah pengkhianatan terbesar,

“Ini bukan jenaka. Kedaulatan dan keselamatan negara senang diperlekehkan,

“Media antarabangsa melaporkan, apabila kita belanjakan berbilion ringgit untuk menjaga perairan negara tetapi kapal masih tidak wujud sehingga ke hari ini,” tegasnya.

Tegasnya, selepas hampir 12 tahun, satu daripada kapal tersebut masih tidak dapat disiapkan lagi.

Semalam, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengadakan sesi taklimat bersama media ketika melawat tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat turut menafikan dakwaan pembinaan kapal LCS adalah projek ‘halimunan’ seperti dakwaan segelintir pihak sebaliknya 5 daripada 6 kapal tersebut kini dalam pembinaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan isu pembelian kapal berkenaan.

Tegasnya, kerajaan juga, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu LCS dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapapun yang terbabit.

Protes yang berlangsung dalam keadaaan hujan yang dihadiri hampir 60 peserta itu tamat kira-kira jam 3.30 petang.

Mereka turut membawa replika kapal LCS serta plakad dengan tulisan antaranya H20 letak jawatan; buang penyamun; RM6 bilion hilang; siasat Dimana Kapal dan Jawab Surat Panglima TLDM.

Turut kedengaran laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘mana LCS’.-airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply