JITRA, 14 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (RTA) telah melaksanakan Eksesais LAND THAMAL Siri 25/2022 yang diadakan bagi mengeratkan hubungan dua hala di samping berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan Taktik, Teknik dan Prosedur (TTP) Peperangan Melawan Insurgensi (PMI).
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, eksesais Bilateral yang diadakan setahun sekali dengan hos penganjurannya oleh TDM pada kali ini telah diadakan selama 11 hari bermula 4 Ogos lalu.
Menurutnya, eksesais yang melibatkan seramai 27 orang pegawai dan 289 anggota dari kedua-dua buah negara ini telah dilaksanakan di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS) Kem Bukit Kayu Hitam dan kawasan am Hutan Lipur, Bukit Wang.
“Eks ini dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu Fasa Pertama Cross Training Exersice (CTX); Fasa Kedua Field Training Exersice (FTX) dan Fasa Ketiga adalah Combined Militiry Civil Action (CMCA),” jelas hantaran itu.
Majlis penutup eksesais ini telah disempurnakan secara bersama oleh Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dan 5th Infantry Division Commander RTA, Maj Gen Woradet Detrugsa pada Sabtu.
Turut hadir, Panglima 30 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu dan 5th Infantry Regiment Commander RTA, Senior Col Tanitpon Hongwilai.
Muhammad Huzaimi dalam ucapan menyatakan, Eks Land Thamal bukan sahaja memberi manfaat kepada tentera yang terlibat, tetapi ia juga membawa kepada peningkatan keupayaan interoperabiliti kedua-dua buah negara.
“Selain itu, eksesais ini juga dapat meningkatkan hubungan kerjasama di kalangan semua peringkat yang terlibat,
“Eks sebegini juga adalah sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan yang memberi tumpuan kepada aspek kerjasama pertahanan bersama negara serantau,” tambahnya. -airtimes.my