KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan beliau pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) akan melakukan apa sahaja untuk menyelesaikan isu perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya dan MINDEF akan lakukan apa sahaja bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik,
“Saya dan barisan kepimpinan di MINDEF tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara,” kata Hishammuddin dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap isu LCS.
“MINDEF juga memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet ini tidak akan mengganggu proses perolehan LCS untuk TLDM,
“Selain daripada itu, pihak yang salah tetap salah dan akan dihadapkan ke muka pengadilan,” ujar beliau.
Hishammuddin menambah, MINDEF sedang giat melaksanakan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan. – airtimes.my